Topik diikuti
Pergi ke BHkuSemangat ‘jiwa’ kampung tarikan keluarga S’pura pindah ke Johor
Semangat ‘jiwa’ kampung tarikan keluarga S’pura pindah ke Johor
Dapat berjimat, namun perlu perancangan baik, terutama dari segi perjalanan dan masa
Semangat ‘jiwa’ kampung tarikan keluarga S’pura pindah ke Johor
Bagi segelintir keluarga Singapura, keputusan menyewa atau menetap di Johor bukan lagi semata-mata didorong oleh kos sara hidup lebih rendah, sebaliknya semakin dipengaruhi faktor pendidikan, ruang hidup yang lebih luas dan suasana masyarakat lebih rapat.
Dalam suasana Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, beberapa keluarga Singapura berkongsi bagaimana pengalaman menyambut Lebaran di Johor, terutama dari segi kejiranan, suasana kampung, makanan tradisional dan kehidupan anak-anak.
Encik Kamar Faizal Baharam, 42 tahun, dan isterinya, Cik Nurlelah Mohamed Asfee, 41 tahun, seorang suri rumah, merupakan antara keluarga yang memilih untuk terus menetap di Johor walaupun Encik Kamar Faizal sudah kembali bekerja di Singapura.
Menurut Encik Kamar Faizal yang bertugas selaku kakitangan awam, beliau dan keluarga sebelum ini tinggal di Jakarta, Indonesia, selama kira-kira empat tahun sebelum ditawarkan berpindah ke Johor pada penghujung 2019.
“Pada masa itu, kami fikir Johor dekat dengan Singapura. Kalau hendak pulang jumpa ayah dan ibu, lebih mudah. Tetapi dua bulan selepas kami berpindah, Covid-19 berlaku dan sempadan ditutup.
“Setiap hari saya pergi ke pejabat di City Square dan nampak Singapura di depan mata, tetapi tidak boleh pulang.
“Tambak Johor yang biasanya sibuk tiba-tiba kosong,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).
Menurut beliau, walaupun berpindah ke luar negara pada awalnya terasa sukar, mereka sudah mempunyai pengalaman tinggal di Jakarta dan lebih bersedia menyesuaikan diri.
Katanya, faktor paling penting ketika membuat keputusan untuk berpindah ialah pendidikan anak-anak.
“Bagi kami, sekolah adalah keutamaan. Anak-anak kami sebelum ini mengikuti kurikulum Britain di Jakarta, jadi apabila berpindah ke Johor, kami memilih sekolah yang menggunakan kurikulum yang sama supaya proses penyesuaian lebih mudah.
“Alhamdulillah, anak-anak dapat menyesuaikan diri dengan baik dan sekarang mereka juga berjaya mendapat biasiswa di sekolah,” katanya.
Menurutnya, walaupun yuran sekolah antarabangsa di Johor tidak murah, mereka melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang.
“Bagi persekolahan anak-anak kami, kosnya boleh mencecah antara $40,000 dengan $50,000 setahun bagi setiap anak, bergantung pada umur dan peringkat persekolahan.
“Ramai orang fikir tinggal di Johor lebih murah, tetapi mereka perlu faham kalau memilih sekolah antarabangsa, kosnya juga tinggi.
“Yang penting ialah jenis kehidupan yang kita mahu untuk keluarga,” katanya.
Menurut Cik Nurlelah pula, kehidupan di Johor memberi peluang kepada anak-anak mereka menikmati zaman kanak-kanak yang sukar diperoleh di Singapura.
“Mereka bebas bergerak dan suasananya seperti kampung. Jiran-jiran juga semua kenal antara satu sama lain. Kalau anak pergi rumah kawan sebelah, kita tahu mereka selamat,” katanya.
Beliau yang merupakan suri rumah berkata kehidupan masyarakat di Johor juga lebih rapat dan saling membantu.
“Kadang-kadang bila waktu makan tengah hari, kami akan tanya dalam kumpulan WhatsApp anak kami di rumah siapa. Ada jiran yang akan tolong hantar balik.
“Suasana itu sangat berbeza. Ia membuatkan kami rasa lebih tenang,” katanya.
Raya mana dulu?
Dalam soal sambutan Hari Raya, pasangan itu berkata mereka biasanya membahagikan masa antara Johor dengan Singapura.
“Pada hari pertama Raya, kadang-kadang kami perlu bekerja kerana ada Rumah Terbuka rasmi dan acara melibatkan kenamaan.
“Jadi, ibu bapa kami akan datang ke Johor dahulu. Hari kedua atau ketiga baru kami pulang ke Singapura untuk bertemu ahli keluarga lain,” kata Encik Kamar Faizal.
Menurutnya lagi, kelebihan tinggal di Johor adalah mereka masih mempunyai pilihan bergerak ke Singapura tanpa perlu menaiki pesawat atau mengambil cuti panjang.
“Kalau tinggal di negara lain, mungkin lebih susah. Tetapi di Johor, kalau hendak balik ke Singapura, satu jam pun sudah sampai,” katanya.
Menurut beliau, perbelanjaan Hari Raya juga lebih mudah diuruskan di Johor kerana banyak makanan dan barangan tradisional lebih murah dan mudah diperoleh.
“Kalau lemang, rendang dan makanan Raya lain, kami memang beli di Johor. Kami ada kenalan tetap yang kami tempah setiap tahun.
“Malah, keluarga kami di Singapura pun biasanya datang ke Johor atau Kuala Lumpur untuk membeli-belah menjelang Hari Raya,” katanya.
Beliau berkata bazar Ramadan di Johor juga lebih menepati cita rasa keluarga mereka.
“Di Singapura, banyak makanan bazar yang terlalu moden dan mahal.
“Di Johor, kita masih boleh jumpa makanan tradisional seperti ayam percik, lemang, rendang dan lauk kampung.
“Kalau di Singapura, kadang-kadang kentang goreng pun boleh dijual sampai $18. Di Johor, harga makanan jauh lebih berpatutan,” ujarnya.
Semangat kejiranan menebal
Sementara itu, bagi Encik Muhammad Haikal Yeo, 37 tahun, karyawan sektor swasta dan isterinya, Cik Nur Syafiqah Abdul Rahman, 36 tahun, seorang perunding hartanah, pengalaman beraya di Johor banyak dipengaruhi suasana masyarakat setempat.
“Kami sudah tinggal di sini selama dua setengah tahun dan telah melalui beberapa kali Hari Raya di Johor.
“Apa yang kami paling suka ialah semangat kejiranan. Ada kumpulan kanak-kanak yang datang dari rumah ke rumah sambil berzanji dan marhaban. Kami beri makanan dan duit Raya kepada mereka,” katanya.
Menurut beliau, suasana seperti itu jarang dirasai di Singapura.
“Di Singapura, kebanyakan orang hanya ziarah keluarga. Tetapi di Johor, jiran-jiran juga sangat rapat. Walaupun keluarga kami ramai di Singapura, kami rasa seperti ada keluarga kedua di sini,” katanya.
Beliau berkata kehidupan di Johor juga memberi peluang kepada mereka menikmati perkara yang tidak dapat dilakukan di Singapura seperti bermain bunga api.
“Pada awalnya, kami pun teruja kerana di sini kita boleh bermain bunga api dan melihat suasana malam Raya yang lebih meriah.
“Kalau jiran bermain bunga api, kami akan keluar tengok bersama-sama. Ia menjadi sebahagian pengalaman Raya di Johor,” katanya.
Dari segi perbelanjaan pula, Encik Muhammad Haikal berkata mereka tidak semestinya berbelanja dua kali ganda walaupun menyambut Hari Raya di Johor dan Singapura.
“Kami cuba seimbangkan. Kadang-kadang satu tahun kami lebih fokus di Singapura, satu tahun lagi lebih banyak masa di Johor.
“Kami juga elakkan kesesakan dengan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan aplikasi untuk melihat keadaan trafik di Tambak Johor atau Linkedua,” katanya.
Kampung seberang Tambak
Bagi perunding hartanah, Encik Mohamed Shamir Abdul Wahid, 42 tahun, pula beliau mula tinggal di Johor sejak 2024 dan kini masuk tahun ketiga menyambut Hari Raya di negeri itu.
Menurut beliau, perbezaan paling ketara antara Hari Raya di Johor dengan Singapura ialah suasana ‘balik kampung’.
“Di Singapura, konsep balik kampung itu hampir tidak ada. Di Johor, kita dapat lihat kawasan perumahan jadi lebih lengang kerana ramai pulang ke kampung.
“Masjid juga tidak terlalu sesak seperti di Singapura kerana ruang lebih luas,” katanya.
Beliau juga menambah banyak makanan tradisional lebih murah di Johor berbanding Singapura.
“Kalau lontong, lemang atau lauk Raya, kita boleh beli terus daripada orang kampung yang masak sendiri di rumah.
“Harganya jauh lebih murah berbanding di Singapura,” katanya.
Beliau juga mengakui suasana kejiranan di Johor lebih mesra.
“Kalau tinggal di rumah bertanah, kita boleh pasang lampu hiasan di pagar, hias rumah dan rasa suasana Raya itu dengan lebih ketara, menyusup ke kalbu.
“Di Singapura, ruang lebih terhad dan semuanya lebih terkawal,” katanya.
Walaupun begitu, beliau menjelaskan kehidupan di Johor memerlukan perancangan yang baik, terutama dari segi perjalanan dan masa.
“Kalau hendak ziarah keluarga di Singapura, kita kena pandai atur perjalanan.
“Kalau keluarga isteri di timur Singapura dan keluarga sendiri di Woodlands, kita kena bahagi-bahagikan masa.
“Tetapi bagi saya, itu bukan masalah besar kerana Johor masih dekat,” katanya.
Menurut beliau, lebih ramai warga Singapura dijangka mempertimbangkan Johor sebagai tempat tinggal atau ruang persaraan pada masa depan, terutama dengan pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.
“Selagi nilai dolar Singapura kekal lebih kukuh, ramai akan lihat Johor sebagai pilihan yang baik.
“Tetapi mereka juga perlu faham bahawa tinggal di Johor bukan semata-mata soal murah.
“Ada banyak perkara yang perlu difikirkan seperti visa, sekolah, kesihatan dan perjalanan harian,” katanya.
