Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permohonan cerai dalam kalangan pasangan Islam di Johor meningkat sejak 2019

May 19, 2025 | 2:43 PM
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid - Foto Ihsan UNIT MEDIA DAN KOMUNIKASI PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

ISKANDAR PUTERI (Johor): Johor mencatat peningkatan dalam jumlah permohonan perceraian yang difailkan oleh pasangan Muslim di Mahkamah Syariah seluruh negeri dalam tempoh enam tahun dari 2019 hingga akhir 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Encik Mohd Fared Mohd Khalid, berkata jumlah keseluruhan permohonan cerai meningkat daripada 6,844 kes pada 2019 kepada 7,306 kes pada 2024.

Beliau menjelaskan bahawa antara punca utama perceraian termasuklah ketidakserasian, masalah kewangan, pasangan yang tidak bertanggungjawab, serta campur tangan pihak ketiga seperti mentua.

“Peningkatan paling ketara adalah dalam permohonan perceraian biasa, iaitu daripada 3,273 kes pada 2019 kepada 4,264 kes pada 2024,” katanya ketika menjawab soalan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada 19 Mei, lapor The Star.

Tambahnya, permohonan pengesahan lafaz cerai turut menunjukkan peningkatan walaupun berlaku sedikit penurunan pada 2021 dengan 1,856 kes. Namun, jumlah itu meningkat semula kepada 2,462 kes pada 2024.

Encik Mohd Fared turut memaklumkan bahawa permohonan pengesahan cerai taklik kekal rendah sepanjang tempoh tersebut, dengan jumlah antara 25 hingga 38 kes setahun.

Bagi cerai khulu’ atau tebus talak pula, bilangannya menurun sedikit daripada 10 kes pada 2019 kepada lapan kes pada 2024.

“Permohonan cerai fasakh pula mencatatkan penurunan ketara daripada 988 kes pada 2019 kepada 545 kes pada 2024,” jelas beliau.

Beliau turut mendedahkan bahawa golongan berumur 26 hingga 35 tahun mencatat jumlah tertinggi dalam permohonan cerai, iaitu seramai 16,159 individu.

Ini diikuti oleh mereka yang berumur 36 hingga 45 tahun (10,517), 18 hingga 25 tahun (4,877), 46 hingga 55 tahun (4,631), 56 hingga 65 tahun (1,715), dan mereka yang berumur 66 tahun ke atas (588).

Menurut Encik Mohd Fared, sebanyak 371 tuntutan nafkah difailkan dari Mei 2024 hingga April 2025.

Menerusi Bahagian Sokongan Keluarga, individu yang layak menerima bantuan selepas siasatan dan kelulusan oleh jawatankuasa berkaitan.

“Sejak 2012 hingga Ogos 2023, Bahagian Sokongan Keluarga telah menyalurkan sebanyak RM77,400 ($23,379) dalam bentuk pendahuluan kepada bekas isteri yang layak, menggunakan dana sumbangan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ),” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg