ISKANDAR PUTERI (Johor): Kerajaan Negeri Johor terus memperhebat usaha memastikan semua lapisan masyarakat, khususnya golongan B40 dan penduduk luar bandar, mendapat akses kepada perumahan bermutu pada harga berpatutan.
B40 merujuk kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus golongan berpendapatan rendah di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata sebanyak 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) disasarkan dibina menjelang 2030, dengan 16,845 unit telah siap setakat suku pertama 2025, lapor The Star.
“Kerajaan negeri kekal komited mencapai sasaran 30,000 unit menjelang 2026.
“Momentum ini akan diteruskan bagi mencapai 100,000 unit menjelang akhir dekad ini,” katanya semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada 19 Mei.
Datuk Jafni turut memaklumkan usaha itu turut merangkumi peluasan projek di bawah program Rumah Kasih Johor (RKJ) dan Rumah Prihatin Johor (RPJ), bagi menyokong golongan berpendapatan rendah yang tersenarai dalam sistem e-Kasih mahupun yang tidak tersenarai.
Beliau berkata program RKJ menyediakan rumah secara percuma kepada keluarga miskin tegar di atas tanah milik sendiri.
Sebanyak 500 unit disasarkan untuk disiapkan menjelang 2026 dengan peruntukan berjumlah RM67 juta ($20.2 juta).
Sementara itu, program RPJ pula dilancarkan pada 2025 bagi membantu golongan B40 yang memiliki tanah sendiri tetapi tidak tersenarai dalam pangkalan data e-Kasih.
“Setiap unit RPJ menelan belanja RM86,000 dan kerajaan negeri menanggung subsidi sebanyak RM30,000.
“Ini bermakna penerima hanya perlu membayar RM56,000 bagi memiliki rumah seluas 660 kaki persegi yang lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya, sambil menambah bahawa projek rintis membabitkan 20 unit sedang dijalankan di Kulai dan Kluang.
Sebanyak 31 projek RMMJ ditawarkan pada 2024 melibatkan 2,326 unit.
Namun, jumlah permohonan yang diterima melalui portal e-rumah mencecah 20,276 permohonan.
Datuk Jafni turut memaklumkan 14 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika ini mempunyai kurang daripada 20 unit RMMJ dan kawasan ini akan diberi keutamaan melalui perancangan membabitkan tanah kerajaan serta kerjasama strategik bersama pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan.
Antara strategi baru yang sedang diteroka termasuk pembinaan pangsapuri mampu milik di atas tanah wakaf; penggunaan tanah di bawah Lembaga Kemajuan Johor Selatan dan Pelabuhan Tanjung Pelepas; serta penambahbaikan dasar berkaitan harga lot bumiputera.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg