Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Permohonan VEP merosot, tidak perlu tunggu lama pasang tag permit

Jumlah kini merosot kepada 300-400 kereta sehari sepanjang Jan dan Feb 2025
Feb 27, 2025 | 4:13 PM
Seorang jurucakap TCSens menyatakan syarikat itu memproses antara 1,500 dengan 1,700 kereta sehari pada Oktober dan November 2024. Namun jumlah itu kini susut kepada antara 300 dengan 400 kereta sehari sepanjang Januari dan Februari 2025.
Seorang jurucakap TCSens menyatakan syarikat itu memproses antara 1,500 dengan 1,700 kereta sehari pada Oktober dan November 2024. Namun jumlah itu kini susut kepada antara 300 dengan 400 kereta sehari sepanjang Januari dan Februari 2025. - Foto fail

JOHOR BAHRU: Tempoh apabila pemandu Singapura perlu beratur panjang dan menanti lama di pusat pendaftaran Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di Johor Bahru kini telah berakhir sedang bilangan permohonan bagi permit memasuki Malaysia itu telah merosot.

Pemandu Singapura kini boleh mendapatkan dan memasang tag VEP pada kereta mereka dalam masa sejam di pusat VEP yang terletak di Danga Bay dan Sunway Big Box di Iskandar Puteri, tidak seperti sebelum ini apabila mereka perlu menunggu selama berjam-jam untuk mendapatkan permit yang mula diwajibkan pada Oktober 2024.

Jurucakap TCSens, vendor yang dilantik kerajaan Malaysia untuk mengendalikan permit itu, memberitahu The Straits Times (ST), bahawa “kebanyakan pemandu” telah memohon VEP dan telah melekatkan tag pengenalan frekuensi radio (RFID) VEP pada kenderaan masing-masing.

Beliau berkata syarikat itu memproses antara 1,500 dengan 1,700 kereta sehari pada Oktober dan November 2024.

Namun jumlah itu kini merosot kepada antara 300 dengan 400 kereta sehari sepanjang Januari dan Februari 2025.

“Kebanyakan pemandu kenderaan persendirian telah memohon dan meletakkan VEP pada kenderaan mereka.

“Tetapi kami faham sesetengah pemandu mungkin belum begitu berminat untuk memasang VEP kerana tindakan penguatkuasaan masih belum dilaksanakan,” kata jurucakap itu.

“Kami amat menggalakkan pemandu agar mengambil kesempatan daripada ketersediaan slot sekarang ini untuk memasang VEP mereka secepat mungkin.”

Beberapa pemandu Singapura memberitahu ST bahawa mereka telah menangguhkan permohonan VEP kerana pihak berkuasa Malaysia tidak menguatkuasakan keperluan VEP itu secara ketat selepas tempoh penguatkuasaan peringkat awal pada 1 Oktober 2024.

Pada Mei 2024, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, mengumumkan bahawa kenderaan berdaftar asing yang memasuki Malaysia dari Singapura mesti mempunyai tag VEP mulai 1 Oktober 2024.

Sesiapa yang memandu kenderaan bermotor berdaftar asing tanpa VEP boleh didenda sehingga RM2,000 ($605) atau dipenjara sehingga enam bulan.

Tetapi pada 4 Oktober 2024, Encik Loke berkata tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu tanpa VEP masih belum dilaksanakan dan mereka yang tidak mempunyai tag akan menerima amaran apabila mereka keluar dari Malaysia, mengingatkan mereka agar memohon VEP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg