JOHOR BAHRU: Kenderaan berdaftar Singapura yang tidak memiliki Permit Masuk Kenderaan (VEP) untuk masuk ke Malaysia, tidak akan dikenakan sebarang tindakan atau hukuman, selagi pengumuman mengenai penguatkuasaannya belum diumumkan kerajaan Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata buat masa ini kerajaan Malaysia menggunakan pendekatan lembut dan hanya memberi peringatan serta notis supaya kenderaan dari Singapura yang mahu memasuki Malaysia menerusi laluan darat mesti mempunyai VEP.
“Kerajaan akan menetapkan tarikh penguatkuasaan tidak lama lagi dan mengumumkannya (tindakan penguatkuasaan) sebelum ia dilaksanakan kepada kenderaan Singapura yang tidak mempunyai VEP.
“Sistem VEP dimulakan pada Oktober 2024 lalu, tetapi daripada segi penguatkuasaan, kita (masih) menggunakan pendekatan lembut dengan memberi peringatan dan notis.
“Kami tidak akan memulakan penguatkuasaan tanpa memaklumkan mengenainya,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Pembangunan Bersepadu Bukit Chagar, Johor Bahru, yang dibangunkan bersama oleh MRT Corporation dan Sunway Group, di Johor Bahru, pada 13 Februari, lapor The Star.
Bermula 1 Oktober 2024 Kerajaan Malaysia mewajibkan semua kenderaan asing dari Singapura mempunyai VEP.
Mengikut undang-undang Malaysia, kenderaan Singapura yang memandu masuk ke Malaysia tanpa VEP adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 ($607) atau penjara sehingga enam bulan.
Encik Loke ketika itu berkata peraturan itu dikuatkuasakan di pintu masuk di kededua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Linkedua Malaysia-Singapura.
Semua kenderaan sedemikian mesti telah memasang dan mengaktifkan tag pengenalan frekuensi radio VEP yang dipautkan kepada akaun e-dompet Touch n Go.
Mereka yang tidak mempunyai tag masih boleh memasuki Malaysia, tetapi akan diberi peringatan dan amaran.
Berita Harian Malaysia melaporkan projek pembinaan Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) berjalan mengikut jadual dengan mencapai kemajuan 100 peratus membabitkan pembinaan infrastruktur landasan kereta api, setakat akhir Januari lalu.
Menurut Encik Loke sasaran utama buat 2025 ini adalah penyaluran kuasa di depot dan kerja penyiapan sepenuhnya depot, yang kededuanya dijadualkan siap Jun ini.
“Kemajuan pembinaan RTS bahagian Malaysia mencapai tahap kemajuan memberangsangkan dengan kerja pembinaan infrastruktur rel bagi Kategori Tahap 1 sudah disiapkan sepenuhnya,” katanya.
Dalam masa sama, Encik Loke berkata hasrat Johor memiliki Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat di Johor Bahru untuk menyokong RTS hampir menjadi kenyataan dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) telah diarah melaksanakan Permintaan Cadangan (RFP) projek itu dalam masa terdekat.
“ART bertingkat lebih sesuai dibangunkan di Johor Bahru berbanding Projek Transit Aliran Ringan (LRT) yang memakan masa lebih lama untuk dibina,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg