SHAH ALAM: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bersedia untuk menyaman sekumpulan individu sebanyak RM1 juta ($303,498) kerana mengasari dan mencederakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam satu kejadian di sebuah pasar tani di Chukai, Terengganu, pada 17 Januari lalu.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata tindakan itu sebagai amaran keras kepada penganiayaan dan penindasan terhadap golongan tidak berdaya khususnya OKU.
“Saman ini adalah nilai yang perlu dikenakan ke atas kumpulan penyerang terbabit kerana bertindak di luar batas undang-undang.
“Kumpulan peguam kami akan menghubungi keluarga lelaki itu bagi berbincang dan berharap mereka bersetuju untuk memulakan proses saman,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Januari, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Datuk Zulkarnain mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak dwistandard dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan.
“Kita menentang kekejaman Israel tetapi dalam masa yang sama kejadian menimpa lelaki OKU itu jelas menggambarkan perilaku yang serupa dengan kekejaman negara Israel.
“Sehubungan itu, kami berharap keluarga lelaki OKU itu tidak menarik semula laporan polis walaupun selepas ini usaha memujuk mereka dibuat,” katanya.
Pada masa sama katanya, G57 juga bersedia untuk melangsaikan kerugian peniaga yang terjejas akibat kesilapan yang dilakukan lelaki terbabit.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal dikatakan melanggar sebuah gerai jualan, kira-kira 9.30 pagi sebelum dipukul beberapa lelaki sehingga cedera.
Susulan kejadian, polis menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg