Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perundangan baru tingkat keselamatan dalam talian di M’sia dibentang Okt

Jul 29, 2024 | 3:12 PM
Azalina Othman Said
Datuk Seri Azalina Othman Said - Foto fail

PUTRAJAYA: Satu perundangan baru bagi meningkatkan tahap keselamatan dalam talian, merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan suis pemati secara terperinci dan jelas, akan dibentangkan di Parlimen Malaysia pada Oktober ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dalam satu kenyataan berkata antara lain undang-undang itu akan meletakkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan penyedia perkhidmatan pesanan Internet.

Hal itu agar mereka memainkan peranan dalam menangani jenayah dalam talian seperti kes penipuan, buli siber, penyebaran bahan penganiayaan seksual kanak-kanak serta gangguan seksual.

Selain itu, beliau berkata Persidangan Perundangan Antarabangsa berhubung Ancaman Dalam Talian 2024 akan dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) JPM pada 5 dan 6 September ini dengan kerjasama Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC).

Penganjuran persidangan itu susulan pelesenan perkhidmatan media sosial berkuat kuasa 1 Januari 2025 selepas satu kerangka kawal selia baru ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenalkan 1 Ogos ini, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Sementara itu, beliau berkata kerajaan Malaysia juga sedang mengkaji cadangan meminda Kanun Keseksaan untuk mengklasifikasikan dan mendefinisikan kesalahan buli siber serta cadangan pindaan berbangkit terhadap Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan peruntukan jenayah itu dapat dikuatkuasakan secara efektif.

Sementara itu, Kementerian Digital Malaysia bercadang menubuhkan Suruhanjaya Data Malaysia bagi memperkukuhkan pengurusan dan keselamatan data rakyat Malaysia.

Menteri Digital, Encik Gobind Singh Deo, berkata pihaknya merancang meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi tujuan penubuhan suruhanjaya ini yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac 2025 atau pertengahan 2025.

“Jika kita lihat kepada teknologi baru, banyak daripada teknologi ini akan bersandarkan kepada kecerdasan buatan (AI) dan kita semua sedia maklum bahawa aspek yang paling penting untuk menjayakan teknologi ini adalah data.

“Itu sebab kerajaan telah pun membuat fokus membawa pelaburan besar khususnya pusat data dan sebagainya. Jika dilihat pelaburan daripada Google, Microsoft, ByteDance dan sebagainya adalah jumlah yang cukup besar.

“Sebenarnya sekarang kita ada Pesuruhjaya Data, belum ada suruhanjaya. Apa yang wujud adalah jawatankuasa.

“Justeru, apa yang saya ingin fokuskan adalah kita akan gunakan platform dan bangunkan jawatankuasa ini terlebih dahulu dan bergerak ke hadapan, kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya jawatankuasa ini dijadikan sebagai suruhanjaya supaya ia dapat memfokuskan lebih kepada aspek-aspek data yang pada saya sangat penting,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg