Topic followed successfully
Go to BHkuPesara tentera meninggal dunia ketika solat subuh berjemaah di Kelantan
Pesara tentera meninggal dunia ketika solat subuh berjemaah di Kelantan
Pesara tentera meninggal dunia ketika solat subuh berjemaah di Kelantan
TANAH MERAH (Kelantan): Jemaah solat subuh di Masjid As-Syakirin Mukim Kelewek, di sini, pada 5 Mei, dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki warga emas meninggal dunia ketika sedang sujud.
Dalam kejadian sekitar 6.09 pagi, Allahyarham Razmi Mohd Nor, 66 tahun, yang juga seorang pesara tentera dikatakan tiba-tiba rebah ketika sujud pada rakaat pertama sebelum dibantu beberapa jemaah lain.
Wakil masjid itu, Mohd Al-Muntaqim Noor, berkata Allahyarham adalah jemaah tetap dan sentiasa hadir menunaikan solat berjemaah di masjid berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.
“Dalam kejadian subuh tadi, jemaah sedang menunaikan solat sebelum menyedari arwah tidak bangun dari sujud untuk meneruskan rakaat kedua.
“Ketika masih dalam posisi sujud, arwah tiba-tiba rebah menyebabkan tiga jemaah berdekatan segera membatalkan solat masing-masing untuk memberikan bantuan dan memeriksa keadaan arwah.
“Arwah kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang hadir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu anak Allahyarham, Encik Mohd Alif Razmi, 27 tahun, berkata beliau dimaklumkan mengenai pemergian bapa oleh ahli keluarga yang menghubunginya, lalu terus memandu pulang dari Selangor ke kampung halaman.
Beliau berkata bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan yang kronik melainkan menghidap angin pasang, selain pernah diserang strok ringan pada 2024.
“Kematian Ayah memang agak mengejutkan tetapi pada masa sama, sangat bersyukur kerana pemergiannya dalam keadaan ‘cantik’, iaitu ketika solat.
“Saya pun tidak tahu apa amalan Ayah sehingga Allah memilihnya pergi dalam keadaan sebegitu. Apa saya tahu ialah arwah adalah seorang yang dermawan.
“Ayah memang tidak kedekut dan sering membayarkan makan minum sesiapa saja ketika berada di kedai kopi, selain sentiasa solat berjemaah memandangkan jarak rumah hanya kurang 300 meter dari masjid,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelewek kira-kira jam 2.30 petang tadi.
