Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pihak berkuasa beri amaran ejen perkahwinan palsu di selatan Thailand 

Jun 8, 2024 | 1:56 PM
Sungai Golok Kahwin Dua Malaysia Selatan Thailand
Pusat pemeriksaan Sungai Golok di sempadan selatan Thailand dan Malaysia. - Foto TOURISM THAILAND

NARATHIWAT: Untuk harga kurang daripada RM2,500 ($720), pasangan di Malaysia boleh mendapatkan sijil nikah di Thailand. Begitu senangnya bagi mereka yang ingin menikahi isteri kedua. 

Kini, bilangan rakyat Malaysia yang berkahwin di selatan Thailand semakin meningkat, lapor akhbar The Star.

Walau bagaimanapun, seorang ejen perkahwinan tempatan telah memberi amaran kepada rakyat Islam Malaysia bahawa mereka akan dibelenggu pelbagai masalah jika mereka mengupah ejen haram untuk memudahkan proses akad nikah. 

Ejen berkenaan, yang tidak mahu dinamakan, berkata mereka yang menggunakan khidmat perkahwinan haram akan melalui majlis pernikahan dengan seorang kadi yang tidak dikenali oleh pihak berkuasa. 

“Majlis yang diatur oleh ejen-ejen haram biasanya dilakukan di kampung-kampung di luar bandar. Dalam sesetengah kes, ejen-ejen itu akan melarikan diri dengan wang anda.   

“Mereka juga bertindak sebagai anggota sindiket yang menawarkan pelbagai khidmat seperti pengangkutan dan penginapan,” kata ejen itu. 

Seorang peniaga tekstil yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Azmin mengalami perkara itu apabila beliau berkahwin pada 2023. Beliau membayar RM2,000 kepada seorang anggota sindiket yang hilang tanpa menyediakan sijil nikah yang sah.   

“Kami dibawa ke sebuah kampung di Sungai Golok dan dinikahkan oleh seorang kadi. Tetapi selepas bersetuju memberikan kami sijil nikah kami di Malaysia, ejen itu melenyapkan diri,” kata beliau.

Encik Azmin berkata beliau kemudian meminta bantuan seorang rakan untuk melangsungkan pernikahannya lagi di Narathiwat; kali ini, dengan seorang kadi yang dilantik oleh Majlis Ugama Islam Thailand.   

Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Encik Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, berkata Konsulat-Jeneral sedar akan kewujudan sindiket yang menjadikan mangsa bagi pasangan yang ingin berkahwin di bandar-bandar sempadan. 

“Bukan senang bagi kami untuk mengesan anggota sindiket ini. Selepas majlis perkahwinan, ejen haram ini tidak akan datang ke Konsulat untuk menyerahkan dokumen pelanggan mereka untuk pengesahan,” kata beliau.   

Encik Ahmad Fahmi menasihatkan pasangan Malaysia supaya menggunakan kadi yang telah diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam di Selatan Thailand.

“Pasangan Malaysia perlu mengemukakan dokumen mereka di Konsulat untuk memastikan perkahwinan mereka adalah sah dan mengelak daripada ditipu oleh anggota sindiket,” tambah beliau. 

Beliau menambah bahawa sebaik sahaja dokumen yang disahkan oleh Konsulat, pasangan boleh mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia. 

“Ini sangat penting kerana jika mereka gagal melakukan demikian, walaupun perkahwinan mereka mungkin dianggap sah dari sudut syariah, masalah mungkin timbul kemudian apabila anak mereka tidak dapat didaftarkan di sekolah atau status anak mereka tidak dapat ditentukan pada masa akan datang,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg