Pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berlangsung pada 10 November, dengan peratusan keluar mengundi direkodkan mencapai 95 peratus sehingga waktu pusat pengundian ditutup pada 5 petang.

Menurut papan pemuka atau dashboard di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 6 petang, daripada 9,917 anggota tentera dan pasangan mereka, serta anggota polis yang layak mengundi awal pada PRN Melaka kali ini, seramai 9,417 telah menunaikan tanggungjawab mengundi sejak 31 pusat pengundian dibuka di seluruh negeri itu bermula 8 pagi.

Jumlah itu menurut SPR, adalah sebahagian daripada sejumlah 687,697 pemilih berdaftar di Melaka yang layak mengundi untuk PRN Melaka kali ini. Hari pengundian ditetapkan pada 14 November ini.

“Daripada 9,917 jumlah pengundi awal pada 10 November itu, 7,472 terdiri daripada anggota tentera dan pasangan, manakala 2,445 adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata SPR dalam kenyataan pada 10 November.

Berita Harian Malaysia melaporkan, masalah kaki patah dan menderita barah rektum tidak menghalang dua anggota polis daripada hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada PRN Melaka, pada 10 November.

Sarjan M Manimaran, 56 tahun, yang sudah 36 tahun bersama PDRM, patah tulang tapak kaki kanannya selepas tergelincir di rumah keluarganya di Tampin, Negeri Sembilan, sebelum sambutan Deepavali.

Bapa tiga anak itu masih bercuti sakit dan mendapatkan rawatan di Hospital Tampin, namun tetap mahu hadir mengundi.

Menurutnya, anak beliau menghantarnya ke pusat pengundian di Balai Polis Trafik Alor Gajah, Melaka, seawal 6.45 pagi bagi menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Balai Polis Trafik Alor Gajah, terletak sekitar 15 kilometer atau 20 minit perjalanan dari bandar Tampin.

“Walaupun cedera, saya tetap datang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Rasa puas dapat tunai tanggungjawab ini dan kewajipan sebagai warganegara sebelum bersara empat tahun lagi,” katanya.

Sementara itu, Konstabel Faisal Mahiddin, 43 tahun, yang bertugas di Bahagian Logistik, Bahagian Trafik Alor Gajah, turut hadir mengundi meskipun menghidap barah rektum sejak lebih dua tahun lalu.

Anggota polis yang sudah lebih 17 tahun berkhidmat itu berkata ini pengalaman pertama mengundi sambil membawa beg stoma.

“Sudah dua tahun begini, terpaksa bawa bersama beg stoma selepas prostat membengkak akibat barah.

“Walaupun diuji dengan masalah kesihatan, saya tetap bersemangat mengundi demi tanggungjawab,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, dilaporkan berkata pihaknya sedang mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan serangan siber yang menyasarkan laman web rasminya, ketika proses PRN Melaka ke-16.

Setakat ini, menurut beliau, SPR belum menerima maklumat lengkap berhubung perkara itu.

“Saya tak dapat laporan penuh lagi. Insya-Allah SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.

“Kita sama-sama berdoa serangan siber ini tidak menyerang laman web SPR kerana ia amat penting dalam melaksanakan pilihan raya ini,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak di Alor Gajah.