PUTRAJAYA: Pneumonia (radang paru-paru) menjadi sebab kematian utama di Malaysia pada 2023, mengatasi penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama dalam dua dekad, kecuali pada 2021 berikutan wabak Covid-19.
Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2024, sejumlah 18,181 kematian direkodkan akibat pneumonia pada 2023, mewakili 15.2 peratus daripada sejumlah 119,952 kematian yang disahkan secara perubatan.
Beliau berkata peningkatan kematian disebabkan pneumonia disumbangkan oleh kesan pascapandemik apabila jangkitan paru-paru dalam komuniti menyebabkan pneumonia terutama bagi individu mempunyai sistem imun yang lemah dan masalah kesihatan sedia ada.
“Sementara itu, penyakit jantung iskemik yang merupakan sebab kematian kedua tertinggi di Malaysia pada 2023 adalah berpunca daripada amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan tidak sihat,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Mohd Uzir, berkata pada 2023, sebanyak 12,648 kematian atau 17.6 peratus dalam kalangan lelaki disebabkan penyakit jantung iskemik, manakala punca kematian utama bagi perempuan ialah pneumonia iaitu 7,815 kematian atau 16.4 peratus.
Beliau berkata kematian akibat pneumonia lebih banyak direkodkan dalam kalangan etnik Cina dan Bumiputera lain yang masing-masing merekodkan 4,887 kematian (16.4 peratus) dan 1,255 kematian (12.2 peratus) pada 2023.
“Etnik Melayu dan India masing-masing merekodkan penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama iaitu 16 peratus dan 20.6 peratus.
“Sebab kematian utama bagi penduduk berumur 60 tahun dan lebih adalah pneumonia yang merekodkan 14,377 kematian atau 19.3 peratus manakala penduduk berumur 41-59 tahun merekodkan penyakit jantung iskemik pada 19.8 peratus (5,673 kematian),” tambahnya.
Datuk Mohd Uzir berkata enam negeri iaitu Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan pneumonia sebagai sebab kematian utama, manakala 10 negeri lain merekodkan penyakit jantung iskemik sebagai sebab kematian utama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg