KUALA LUMPUR: Seramai 361 individu yang disyaki terbabit kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ telah ditahan dalam operasi khas selama sembilan hari di serata negara bermula 4 November.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kesemua suspek ditahan kerana dipercayai terbabit kegiatan ‘ah long’ sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Menurutnya, semua tangkapan berusia lingkungan 18 hingga 77 tahun termasuk pekerja di syarikat pemberi pinjaman wang berlesen yang dikesan melanggar syarat Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2024.
“Mereka berperanan seperti pemberi pinjam wang, pemungut hutang, pegawai khidmat pelanggan, ejen pengeluar wang, pemilik akaun keldai, ejen simbah cat dan pengedar risalah serta ‘bunting’ (gegantung) iklan.
“Hasil serbuan, polis merampas pelbagai barangan dan dokumen antaranya 361 telefon bimbit, 399 kad ATM, 10 komputer riba, 11 kenderaan, 1,439 keping kad pinjaman, 250 ikat gegantung, 269 perjanjian pinjaman wang dan wang tunai RM12,994 ($3,926),” katanya dalam sidang media ibu pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada 27 November, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Ramli berkata sebanyak 136 kertas siasatan dibuka berkait kesemua tangkapan dan sehingga kini, 25 kertas siasatan membabitkan 41 individu sudah berjaya dituduh di mahkamah, dan selebihnya masih disiasat mengikut Seksyen 5(2), Seksyen 29AA dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Dalam pada itu, katanya sebanyak 977 kes ‘ah long’ direkodkan pada 2021 dan angka itu meningkat kepada 989 kes pada 2022, manakala 1,162 kes direkod pada 2023 dan bagi 2024 sehingga Oktober lalu, sebanyak 777 kes ‘ah long’ direkodkan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg