Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor rampas 115kg dadah bernilai lebih RM11 juta

Nov 5, 2025 | 4:24 PM
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad. - Foto FACEBOOK POLIS JOHOR

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas 115.09 kilogram (kg) dadah bernilai RM11.4 juta ($3.5 juta) dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata serbuan dilakukan pada 3 dan 4 November, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.

Tambahnya, seorang lelaki tempatan penjaga stor berumur 55 tahun turut ditahan.

“Pemeriksaan di rumah membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah antaranya 17 peket disyaki berisi pil ecstasy (25.24kg), 22 peket plastik disyaki syabu (23.10kg),13 peket plastik disyaki serbuk MDMA (22.43kg) dan 13 peket plastik disyaki ketamin (13.40kg).

“Turut dirampas 300 peket plastik disyaki ketamin (11.51kg), sebanyak 6,000 papan kerajang timah dadah disyaki pil Erimin-5 (19.41kg) dan pelbagai peralatan memproses dadah.

“Jumlah dadah dirampas ialah 115.09kg dengan nilai dianggar RM11.4 juta.

“Sindiket dipercayai aktif sejak Julai, menjadikan rumah teres berpagar dan berpengawal yang disewa sebagai stor dadah sebelum diedar ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang media di IPK Johor pada 5 November.

Datuk Ab Rahaman berkata turut disita sebuah Toyota Vios dan wang tunai bernilai RM10,000.

“Ujian awal saringan air kencing suspek adalah negatif manakala pemeriksaan mendapati dia mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah, jenayah dan trafik.

“Rumah itu dijadikan stor dan memproses dadah. Dadah serbuk dijadikan cecair dan dijual sebagai minuman di pusat hiburan.

“Siasatan masih dijalankan dan ada ahli sindiket masih dikesan.

“Suspek direman tujuh hari bermula 4 November manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Datuk Ab Rahaman memaklumkan bahawa polis telah menerima empat lagi laporan berkaitan pencemaran Sungai Johor di Kampung Orang Asli Sayong Pinang dekat Kota Tinggi.

Tambahnya empat laporan polis itu, masing-masing dibuat oleh pemilik lombong dan tiga penduduk kampung Orang Asli yang terjejas akibat insiden sejak 31 Oktober.

Katanya ia menjadikan keseluruhan tujuh laporan polis dibuat berkaitan insiden pencemaran itu setakat 4 November.

“Laporan diterima daripada syarikat pengendali air Johor, Ranhil SAJ Sdn Bhd, penduduk kampung dan pemilik lombong. Saya sahkan tujuh laporan polis dibuat dari 31 Oktober (hari kejadian pencemaran) hingga semalam,” jelasnya.

Menurut Datuk Ab Rahaman, siasatan kes pencemaran bukan dijalankan polis, sebaliknya oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhan Perkhidmatan Air Negara (Span).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg