JOHOR BAHRU: Polis tidak menolak kemungkinan permainan dalam talian yang popular dalam kalangan kanak-kanak, Roblox, mempengaruhi kejadian seorang kanak-kanak lelaki dikelar di Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata kejadian itu berlaku di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, Batu Pahat, pada 27 Oktober apabila mangsa berusia enam tahun ditemui dengan luka kelar di leher dan kecederaan tikaman di badannya.
“Siasatan awal mendapati abang sulung mangsa yang berusia sembilan tahun telah bermain Roblox dan telah mengumpul kira-kira satu juta mata dalam permainan ini.
“Telefon bimbit budak lelaki itu kemudiannya dirosakkan oleh adik lelakinya yang didakwa menyebabkan mata tersebut hilang.
“Susulan itu, suspek mungkin mengalami halusinasi pada waktu malam berkaitan permainan itu dan mendakwa dia disuruh mencederakan keluarganya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 29 Oktober.
Katanya, suspek kemudian mengambil pisau di rumahnya dan menyerang adiknya yang berusia enam tahun itu.
“Mangsa ditemui dengan kecederaan akibat kelar dan tikaman. Dia kini sedang menerima rawatan di hospital di Batu Pahat dan berada dalam keadaan stabil,” ujarnya.
Datuk Ab Rahaman memberitahu, ibu bapa dua budak lelaki tersebut yang kedua-duanya berusia 40-an tahun, telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Kedua-dua ibu bapa ditahan kerana kami percaya mereka mempunyai pengetahuan tentang kejadian itu. Mereka telah direman sehingga esok (30 Oktober),” katanya lapor MalaysiaGazette.
Beliau menambah, polis juga sudah menyoal siasat ahli keluarga mangsa yang lain termasuk kakak perempuan mangsa yang berusia 15 tahun.
“Siasatan masih di peringkat awal dan kami masih belum merekodkan kenyataan mangsa kerana dia belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, mangsa dan suspek kini berada di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak boleh ditahan seperti suspek jenayah biasa kerana masih kanak-kanak.
Beliau menambah bahawa polis telah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
“Pada ketika ini, siasatan kami tertumpu kepada keluarga dan menentukan punca sebenar kejadian,” katanya.
Dalam kejadian 5.30 pagi pada 27 Oktober, mangsa ditemukan dalam keadaan parah selepas leher sebelah kiri dikelar menggunakan senjata tajam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, dilapor berkata siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 40 tahun pada 9 pagi hari kejadian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg