JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang pemandu bas yang sebelum ini tular memuat naik rakaman video penumpang bas yang juga murid sekolah rendah dan melabel mereka sebagai crush atau ‘kesayangan’.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, berkata penahanan pemandu berusia 24 tahun itu di Simpang Renggam, dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira 2.57 pagi pada 6 September.
Beliau berkata polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan pemandu itu untuk memuat naik hantaran berkenaan di akaun media sosial miliknya.
“Polis Kontinjen Johor mengesahkan menerima laporan dan menjalankan siasatan berhubung penularan rakaman video memaparkan kanak-kanak dalam sebuah bas dipandu seorang lelaki.
“Suspek memuat naik rakaman video ke akaun media sosial TikTok ‘Abang Bas’ dengan hantaran berkenaan masih wujud dan boleh diakses.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama daripada ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil membantu siasatan,” katanya, lapor Astro Awani.
Pada 5 September tular di aplikasi TikTok seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau crush dan ‘kesayangan’.
Hantaran itu mendapat kecaman orang ramai yang berpendapat ianya tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak, malah ada yang bimbang dan mengaitkan perbuatan itu dengan gejala pedofilia.
Tindakan merakam foto atau video kanak-kanak tanpa kebenaran ibu bapa melanggar hak serta privasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Berdasarkan pemerhatian di TikTok, pemilik akaun itu yang menggunakan nama ‘Abang Bas’ yang mempunyai lebih 600,000 pengikut, merekodkan video ketika memandu kenderaannya dengan wajah pelajar jelas kelihatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri, pada 5 September juga dilapor mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai hantaran tular itu.
Encik Kumar berkata pemandu bas itu disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana membawa maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa saja cara secara berulang atau kerap.
Katanya suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui perantara elektronik.
Encik Kumar menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan awal, selain pelakunya dikenakan tindakan undang-undang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg