Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Johor tumpas sindiket pinjam wang haram sasar rakyat M’sia kerja di S’pura

May 8, 2025 | 12:57 PM
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar. - Foto fail NSTP

JOHOR BAHRU: Sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ‘along’ – yang menyasarkan rakyat Malaysia bekerja di Singapura – tumpas selepas empat anggota sindiketnya ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata dalam operasi dijalankan Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada 17 April, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 30 hingga 34 tahun dan seorang wanita berumur 27 tahun.

“Siasatan awal mendapati kumpulan itu dibayar antara RM100 ($30.34) dengan RM350 bagi melakukan perbuatan khianat seperti menyimbah cat, mengunci pintu rumah dan mengugut mangsa yang gagal membayar pinjaman.

“Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah sebuah kereta, empat telefon bimbit, tong cat, pisau kecil, rantai kunci bersama anak kunci, helaian butiran mangsa dan peralatan menulis untuk nota ugutan,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Datuk Kumar berkata semua suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.

“Sindiket menyasarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan menawarkan pinjaman menerusi media sosial seperti Facebook dan TikTok.

“Pinjaman dimasukkan terus ke akaun bank peminjam tanpa perjanjian rasmi dan dikenakan faedah antara 20 dengan 50 peratus. Urusan transaksi dilakukan melalui akaun berdaftar di Singapura,” katanya.

Beliau berkata polis percaya tangkapan itu berjaya menyelesaikan sembilan kes iaitu enam di Johor (termasuk Johor Bahru Selatan, Johor Bahru Utara, Kluang dan Seri Alam) serta tiga di Pahang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat), Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (gangguan terhadap peminjam) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (penggunaan dadah).

“Sebanyak enam kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Johor, dengan lima kes dituduh mengikut Seksyen 427 dan satu di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

“Mereka semua akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor,” kata Datuk Kumar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg