SHAH ALAM (Selangor): Polis menahan tiga suspek diupah ceti haram dari Singapura yang disyaki melakukan khianat dengan api dan menyimbah cat di Malaysia dengan upah sehingga RM1,500 ($449) daripada sindiket itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ketiga-tiga suspek termasuk sepasang suami isteri ditahan di kawasan rumah di Kepong dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dalam operasi khas pada 8 serta 9 April.
Beliau berkata tangkapan semua suspek berusia antara 20 dengan 22 tahun itu adalah susulan laporan seorang mangsa yang memaklumkan rumahnya di Ampang, Selangor, dibaling bom botol yang juga dikenali sebagai koktel Molotov, pada 20 Mac.
Siasatan mendapati dua suspek mengenali dan mendapat tawaran ceti haram dari Singapura menerusi media sosial. Seorang daripada mereka menjadi orang tengah bagi mendapatkan pekerjaan itu.
“Suspek menerima upah antara RM1,000 dengan RM1,500 sekiranya melakukan khianat dengan api, manakala RM600 hingga RM900 bagi khianat simbah cat.
“Siasatan mendapati dua suspek lelaki terbabit turut menawarkan pekerjaan itu kepada individu lain dengan bayaran antara RM300 dengan RM800,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Hussein berkata suspek wanita pula berperanan merakam video dan mengambil gambar ketika kejadian untuk dihantar kepada pihak yang mengupah mereka.
“Semakan juga mendapati kumpulan itu melakukan sembilan kes khianat di Selangor, Perak, Johor dan Negeri Sembilan.
“Siasatan masih dijalankan termasuk sama ada mereka ada meminjam daripada along. Mereka didapati tiada rekod jenayah lampau,” katanya.
Datuk Hussein berkata dua suspek lelaki masih direman selama enam hari, manakala suspek wanita diberikan ikat jamin polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
Selain itu, Datuk Hussein berkata dua daripada tiga suspek yang disyaki terbabit kes samun berparang di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Pasir Panjang, Sabak Bernam, Selangor, pada 21 April, berjaya ditahan pada 22 April.
“Dua suspek itu disahkan positif dadah dan memiliki sebilangan rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta samun.
“Polis masih mengesan seorang lagi suspek terlibat sewaktu kejadian sebab ketika kejadian suspek ada tiga orang,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg