KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang penjaga rumah orang tua yang dipercayai melakukan ugutan dan fitnah terhadap seorang pempengaruh media sosial yang ditemui maut di sebuah kondominium di Setapak, Kuala Lumpur, pada 4 Julai.
Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata wanita warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di Rawang, Selangor, pada 1.45 pagi, 8 Julai, bagi membantu siasatan berkaitan ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap mangsa.
“Suspek kini direman tiga hari sehingga 10 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib),” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.
Encik Ahmad Sukarno berkata pihaknya menerima aduan berkaitan kes itu daripada seorang lelaki berusia 39 tahun pada 6 Julai.
“Pengadu telah terlihat dua posting (hantaran) melalui Tiktok mengenai fitnah dan ugutan terhadap pempengaruh itu.
“Kededua akaun TikTok tersebut telah menggunakan gambar pempengaruh itu sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun terbabit,” katanya.
Beliau berkata kandungan terbabit juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada pempengaruh berkenaan serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.
“Hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan wujud berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis, namun disyaki telah dipadam kedua-dua pemilik akaun TikTok tersebut,” katanya.
Mayat pempengaruh wanita berusia 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira 11 pagi, pada 5 Julai.
Polis mengesahkan menerima laporan daripada pempengaruh berkenaan, mendiang Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha, 30 tahun, pada 4 Julai.
Namun polis tidak dapat membuka kertas siasatan ekoran mangsa tidak dapat hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa pada 5 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg