MELAKA: Polis Melaka menumpaskan sindiket memproses kad debit bank dengan penahanan seorang lelaki warga Singapura di sebuah kondominium di Tengkera, Melaka, pada 23 April.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berumur 42 tahun itu ditahan bersama 227 kad visa debit Joint Development Bank yang berpangkalan di Laos.
Selain itu, katanya, pelbagai peralatan digunakan untuk memproses kad debit klon berkenaan, antaranya mesin pemotong laser, pistol haba dan mesin pengimbas kad debit turut dirampas dalam serbuan pada 1.15 tengah hari itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua kad debit berkenaan dicetak dengan nama warga Jepun dan kad terbabit dipercayai dijual ke pasaran negara itu.
“Siasatan awal mendapati suspek menyewa kondominium itu sejak Januari 2025 dan menjadikan premis berkenaan sebagai tempat memproses kad debit klon.
“Suspek didapati menerima bekalan kad debit Joint Development Bank daripada pihak tertentu melalui penghantar kiriman dan kemudiannya akan meniru data daripada kad debit bank berkenaan serta membuat cetakan kepada kad klon kosong menggunakan mesin laser,” katanya pada sidang akhbar, lapor Astro Awani.
Beliau berkata kad klon yang dicetak itu kemudiannya akan ditampal dengan cip dan jalur magnetik sebelum menukar kategori kad itu sama ada kepada premium atau platinum.
Katanya, suspek kemudian akan menguji kad debit klon yang baru menggunakan mesin pengimbas dan mesin terminal untuk memastikan kad itu boleh digunakan.
Datuk Dzulkhairi berkata kesemua kad yang telah siap diproses akan dihantar kepada pemilik baru menggunakan kurier dan suspek akan menerima bayaran bulanan sebanyak $3,800.
Dalam perkembangan lain, Datuk Dzulkhairi berkata lima lelaki warga tempatan berumur 21 hingga 32 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud melibatkan kerugian kira-kira RM1.82 juta ($549,469).
Beliau berkata kesemua suspek yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi kegiatan penipuan itu ditahan di dua unit kondominium di Ayer Keroh, Melaka, yang dijadikan sebagai pusat panggilan sejak empat bulan lalu dan menyasarkan rakyat tempatan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud menerusi platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram.
“Setakat ini, kita menerima 14 laporan, dan mangsa antaranya dari Melaka, Perak, Kedah, Selangor, Pahang dan Pulau Pinang dengan tawaran gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000.
“Pada mulanya, mangsa dijanjikan dengan tawaran pekerjaan sambilan dalam talian melalui laman web mata wang kripto deribittrade dan mangsa juga ditawarkan komisen 10 peratus bagi setiap pelaburan mata wang kripto yang disertai,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg