Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Selangor rampas dadah bernilai RM4j

Jul 17, 2025 | 3:19 PM
Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, heroin, dadah
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (kiri), menunjukkan barangan rampasan pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin bernilai RM4.13 juta ($1.24 juta) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Polis Selangor menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis heroin dengan rampasan berjumlah RM4.13 juta ($1.24 juta) menerusi tiga serbuan di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, Malaysia.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata serbuan menerusi risikan itu dijalankan serentak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman antara 1.30 tengah hari dengan 3.30 petang pada 12 Julai.

Dalam serbuan itu, katanya, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 47 hingga 55 tahun termasuk seorang individu yang dipercayai dalang sindiket.

“Pada serbuan pertama, polis menahan sebuah kereta Mazda di tepi jalan di Subang Jaya dan menangkap suspek pertama yang mana hasil pemeriksaan menemui dadah jenis ‘heroin base’ yang dianggarkan seberat 14.52 kilogram dan 920 gram heroin dalam satu beg warna hitam yang disorokkan pada ruangan khas di bahagian tempat belakang penumpang.

“Serbuan seterusnya dijalankan di sebuah rumah beralamat di Seri Kembangan dan menahan suspek kedua.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah itu menemui ‘heroin base’ yang dianggarkan seberat 25.55 kilogram.

“Suspek ketiga ditahan di sebuah kedai makan di Permatang Pauh, Pulau Pinang, dengan pemeriksaan susulan di sebuah rumah menemui ‘heroin base’ seberat 7.456 kilogram.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 47.526 kilogram ‘heroin base’ dan 920 gram heroin yang dianggarkan bernilai RM4.13 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 16 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Beliau berkata modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan kondominium atau apartmen sebagai lokasi transit bagi penyimpanan bekalan dadah sebelum dihantar kepada pelanggan.

Menurutnya, sindiket itu turut mengubah suai kenderaan dengan memasang ruang khas bagi menyembunyikan dadah yang dibawa, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa melalui sekatan jalan raya.

“Sindiket ini mula bergiat aktif sejak awal 2024 dan kita percaya individu yang ditangkap di Pulau Pinang adalah dalang dan mengambil bekalan dadah dari negara jiran di utara.

“Dua lagi tangkapan bertindak sebagai pengangkut dan dipercayai dibayar RM5,000 untuk satu perjalanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Datuk Hussein berkata semakan rekod lampau mendapati semua tangkapan memiliki rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek pertama positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi negatif daripada sebarang dadah, katanya.

“Polis juga menyita harta yang dianggarkan bernilai RM166,000 membabitkan empat kereta dan dua motosikal,” katanya.

Beliau berkata semua suspek direman antara lima dengan enam hari bermula 13 hingga 18 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg