Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Kelantan tahan pasangan sindiket dadah bersama 90kg ganja bernilai RM3.1j 

Jul 14, 2025 | 2:03 PM
Malaysia, Kelantan, sindiket dadah, ganja, suami isteri
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat (kanan), bersama pegawainya menunjukkan rampasan 90 kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat dan bunga ganja bernilai RM3.1 juta di sebalik peket bungkusan kacang gajus di Kuala Krai dan Pasir Puteh, Kelantan. - Foto NSTP

KOTA BHARU (Kelantan): Polis Kelantan menahan pasangan suami isteri dan merampas 90 kilogram (kg) dadah jenis ganja mampat dan bunga ganja bernilai RM3.1 juta ($930,000) yang dibungkus dalam peket bungkusan kacang gajus di Kuala Krai dan Pasir Puteh, Kelantan.

Kedua-dua suspek berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan pada 4 pagi 11 Julai, di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai sebelum rampasan seterusnya dilakukan di kediaman suspek di Selising, Pasir Puteh, pada 4 petang.

Suspek wanita yang disyaki mendalangi kegiatan pengedaran dadah itu berselindung di sebalik perniagaan ayam proses, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu kenderaan swasta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata tangkapan dilakukan ketika anggota unit kereta peronda (MPV) Kuala Krai melakukan rondaan dan mengesan sebuah Proton X70 dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggota polis kemudian mengekori kenderaan itu sebelum menahannya dan pemeriksaan menemui suami isteri terbabit bersama 110 bungkusan plastik yang di dalamnya mengandungi tumbuhan kering dipercayai bunga ganja seberat 60.8 kilogram.

“Turut ditemui ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 6.95kg dan peket plastik mengandungi 150 biji pil yaba.

“Jumlah dadah jenis ganja yang dirampas di Kuala Krai sebanyak 67.75 kg dan 15 gram pil yaba membabitkan nilai RM2.37 juta,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Susulan rampasan dan tangkapan berkenaan, Datuk Mohd Yusoff, berkata pihaknya menyerbu rumah suspek di Pasir Puteh pada hari sama sebelum menemui 22kg tumbuhan kering mampat jenis ganja di dalam rumah berkenaan bernilai RM775,000.

“Kita juga merampas wang tunai, rantai leher dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua lokasi adalah sebanyak RM3.1 juta.

“Kita percaya bekalan dadah terutama bunga ganja ini akan dihantar ke luar negara.

“Polis tidak menolak kemungkinan suami isteri ini adalah ketua kumpulan dan mereka juga mempunyai rangkaian lain memandangkan bekalan untuk dihantar ke luar negara,” kata Datuk Mohd Yusoff.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata penahanan dan rampasan dadah besar-besaran di Kelantan membabitkan nilai jutaan ringgit sejak kebelakangan ini jelas membuktikan penguatkuasaan di lapangan sedang berjalan dengan berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg