SHAH ALAM (Selangor): Polis sedang menyiasat cubaan menganjurkan satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dipercayai dirancang di lokasi yang tidak diketahui di sekitar Petaling Jaya, Selangor, pada 21 Jun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya mengesan satu hantaran media sosial dipercayai dimuat naik sayap pemuda sebuah parti politik yang merancang menganjurkan program berkenaan.
Setakat ini, polis menerima 21 laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang membantah program itu membabitkan 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh Malaysia.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai program yang disifatkan bertentangan dengan sensitiviti rakyat serta bercanggah dengan undang-undang Malaysia, yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.
Menurutnya, tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang berdegil.
“Polis akan terus memantau perkembangan ini dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan ketenteraman awam dan mematuhi undang-undang negara,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dilaporkan menggesa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap program mempromosikan LGBT yang dianjurkan baru-baru ini.
Datuk Mohd Na’im dipetik menegaskan sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta berpegang kepada nilai budaya timur yang luhur, sebarang usaha membiasakan gaya hidup songsang adalah bertentangan asas Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada dan dasar rasmi Kerajaan.
Sementara itu, Sekretariat Syubban Persatuan Ulama Malaysia menyokong penuh ketegasan Datuk Dr Mohd Na’im menolak sebarang program mempromosikan gaya hidup songsang LGBT dan kelompok mempersoalkan identiti seksual diri.
Pengerusinya, Dr Ainul Asyraf Lokman, berkata sebagai anak muda proaktif serta berlandaskan syariat, pihaknya amat prihatin dengan agenda cuba membiasakan perkara yang jelas bertentangan dengan fitrah dan ajaran Islam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg