Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerajaan M’sia diperintah pulangkan 172 jam ‘Pride Collection’ kepada Swatch

Nov 25, 2024 | 2:40 PM
Jam tangan keluaran Swatch daripada siri Pride Collection yang dirampas kerajaan Malaysia atas dakwaan ia melambangkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Jam tangan keluaran Swatch daripada siri Pride Collection yang dirampas kerajaan Malaysia atas dakwaan ia melambangkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). - Foto LAMAN WEB SWATCH

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 25 November, memerintahkan kerajaan Malaysia memulangkan 172 jam tangan Swatch dari siri Pride Collection, yang dirampas Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 2023 kepada syarikat Swatch Malaysia.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Amarjeet Singh, berkata KDN melanggar undang-undang ketika melakukan rampasan dan mengarahkan kerajaan memulangkan jam tangan itu dalam tempoh 14 hari bermula 25 November.

Beliau turut membatalkan notis penyitaan terhadap Swatch Malaysia, selepas membenarkan perintah ‘certiorari’ (perintah dari Mahkamah Tinggi untuk menghalang sesuatu keputusan dibuat) yang dimohon oleh syarikat berkenaan.

Hakim Amarjeet berkata demikian selepas membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan syarikat pengimport dan penjual jam tangan itu pada Ogos lalu.

Syarikat Swatch Malaysia menegaskan sebelum serbuan, jam tangan itu dijual secara terbuka di Malaysia tanpa sebarang kejadian.

Menerusi cabaran yang difailkan pada 2023, Swatch menuntut beberapa ‘relief’ (tuntutan untuk mendapatkan apa-apa wang, barang atau harta yang diambil secara perundangan), antaranya perintah ‘certiorari’ untuk membatalkan notis rampasan untuk serbuan.

Swatch turut memfailkan perintah untuk memaksa kementerian memulangkan 172 jam tangan dalam tempoh lima hari dari tarikh arahan dan ganti rugi kerosakan, termasuk yang bersifat teladan dan teruk, lapor Berita Harian Malaysia.

Sebelum ini, pegawai penguat kuasa KDN merampas jam tangan terbabit termasuk daripada Pride Collection yang menampilkan jam tangan warna pelangi antara 13 dengan 15 Mei 2023.

Rampasan dibuat dalam satu serbuan di 11 kedai Swatch di pusat beli belah Pavilion, 1 Utama, Sunway Pyramid dan Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur, serta pusat beli-belah Suria Sabah di Kota Kinabalu, Sabah, selepas barangan itu dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Serbuan itu dilaporkan berlaku selepas netizen mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rok British, Coldplay terhadap LGBT.

Pembuat jam tangan Switzerland itu mendakwa rampasan terbabit menyalahi undang-undang kerana jam tangan berkenaan tidak ditakrifkan sebagai satu bentuk ‘penerbitan’ di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Bagaimanapun, pada 10 Ogos 2023, kerajaan mewartakan pengharaman mana-mana jam tangan Swatch atau bahan berkaitan termasuk kotak yang mengandungi pengaruh LGBT, di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam reaksi awalnya berkata KDN menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulangkan 172 jam tangan Swatch, termasuk siri Pride Collection yang dirampas.

Bagaimanapun beliau berkata sebarang tindakan lanjut termasuk mencabar keputusan mahkamah itu akan diteliti dan pihaknya perlu mendapatkan laporan penuh terlebih dahulu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg