PORT DICKSON: Polis Malaysia membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang suami dipercayai memukul isterinya selepas lelaki itu dikatakan ‘kantoi’ curang di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata pada 3 petang 19 Jun, pihaknya mendapat maklumat mengenai satu video tular berdurasi 31 saat di media sosial memaparkan pasangan berusia 37 dan 38 tahun bergaduh di sebuah hotel.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 24 Mei lalu pada 9.50 pagi di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan, dan pergaduhan itu membabitkan suami isteri,” katanya dalam kenyataan pada 20 Jun.
Katanya, punca kejadian dipercayai kerana si suami curang dan mendaftar masuk di sebuah hotel.
“Susulan pergaduhan itu, mangsa, seorang perempuan Melayu, cedera di pipi dan sakit di beberapa anggota badan.
“Mangsa sudah membuat laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumahtangga,” kata Superintendan Aidi, lapor Berita Harian Malaysia.
Isteri lelaki itu yang dikatakan baru habis berpantang pergi sendiri ke bilik suaminya di hotel itu sebelum terjadi pergaduhan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg