GEORGETOWN: Polis mengesahkan menerima laporan mengenai isu tular di media sosial berhubung penganiayaan kucing di Medan Selera Pasar Lebuh Cecil, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, laporan itu dibuat seorang wanita tempatan berusia 20 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Menurut laporan itu, wanita terbabit mendakwa melihat seorang lelaki yang juga peniaga makanan menganiaya kucing dengan mencekik lehernya kira-kira 8 pagi, pada 8 Mei.
“Susulan itu wanita berkenaan membuat laporan polis pada 4.05 petang pada hari yang sama.
“Bagaimanapun, lelaki warga tempatan iaitu peniaga makanan berusia 55 tahun yang dimaksudkan wanita berkenaan, turut membuat laporan polis semalam (9 Mei) bagi menafikan dakwaan terhadapnya.
“Hasil siasatan pihak polis, kes ini sudah diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA) iaitu kepada pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media pada 10 Mei.
Terdahulu, tindakan itu didakwa dilakukan lelaki berkenaan selepas kucing terbabit makan kuih jualannya dan hantaran mengenai isu berkenaan serta laporan polis turut tular di media sosial.
Menurut laporan itu, wanita terbabit mendakwa melihat kucing berkenaan meronta-ronta ketika dicekik sehingga menyebabkan sesak nafas dan terbuang air besar.
Lelaki berkenaan mendakwa akan mencekik kucing itu sampai mati sekiranya wanita terbabit mengambilnya.
Kucing itu dimasukkan ke dalam plastik oleh lelaki berkenaan sebelum ia diambil oleh wanita terbabit bagi dibawa pulang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg