Seorang lelaki yang melepaskan kekecewaan dengan mendera dan membunuh dua ekor kucing dengan membuangnya dari tingkat tinggi di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dijatuhi hukuman penjara 14 bulan pada 7 Februari.
Menurut The Straits Times, Barrie Lin Pengli, 32 tahun, mendera lima kucing dalam tempoh satu tahun lapan bulan, satu perbuatan yang disifatkan oleh pihak pendakwa sebagai salah satu kes kekejaman paling teruk terhadap haiwan.
Lin pada mulanya menendang haiwan itu sekitar akhir 2019. Tidak lama kemudian dia memasukkan kucing ke dalam beg kedap udara yang menyebabkan haiwan itu sesak nafas sebelum melepaskannya.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Regina Lim berkata Lin berasa teruja, dan seronok ketika mendera kucing-kucing itu, serta berasa lega selepas dia mendera mereka.
Daripada lima kucing yang didera Lin, dua terbunuh dan seekor pula cedera parah. Dua lagi kucing terperangkap dalam keadaan sesak nafas sebelum dilepaskan.
Dalam menjatuhkan hukuman, Timbalan Ketua Hakim Daerah Kessler Soh menyifatkan perbuatan Lin sebagai amat menjijikkan, dengan menyatakan bahawa Lin telah membunuh, mencacatkan dan menyebabkan kesakitan yang tidak perlu kepada kucing.
Pihak pendakwa telah memohon hukuman penjara selama 24 bulan, tetapi hakim berkata beliau mendapati ini “agak berlebihan”.
Lin, yang dilarang memiliki sebarang haiwan selama setahun selepas dibebaskan dari penjara, mengaku bersalah pada Oktober 2024 atas tiga pertuduhan melakukan kekejaman terhadap haiwan.
Dia disahkan menghidap gangguan kemurungan utama, tetapi Hakim Soh enggan meminta perintah rawatan wajib sebagai ganti hukuman penjara.
DPP berkata bahawa setiap kali Lin berasa kecewa dengan kehidupan, dia akan pergi merayau-rayau di Ang Mo Kio, mencari kucing untuk melepaskan kemarahannya.
Dia memilih kawasan itu, kerana dia tahu terdapat lebih banyak kucing di situ.
Sekitar 3.30 pagi pada 21 April 2020, Lin membuang seekor kucing dari tingkat 12, Blok 572, Ang Mo Kio Avenue 3. Kucing itu mati akibat hentakan.
Dia membuang bangkai itu di kawasan lain yang tidak disebut dalam dokumen mahkamah. Kucing itu tidak pernah ditemui.
Sekitar sebulan kemudian, pada 15 Mei 2020, Lin menggantung sebelum menjatuhkan seekor lagi kucing di tingkat lapan Blok 645, Ang Mo Kio Avenue 6.
Apabila Lin pergi ke tingkat bawah dan melihat kucing itu masih hidup, dia memijak lehernya dengan tujuan untuk membunuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg