KUALA LUMPUR: Seramai 837 rakyat Malaysia telah ditahan di luar negara atas kesalahan penipuan dalam talian sehingga 8 November lalu.
Demikian menurut Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata angka tersebut hanya melibatkan satu kategori kesalahan, manakala ribuan rakyat Malaysia turut ditahan atas pelbagai kesalahan lain yang boleh mencemar imej negara.
“Setakat 8 November 2025, (seramai) 837 orang rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan penipuan dalam talian saja. Itu satu segmen kes saja. Banyak lagi kesalahan, beribu-ribu rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara.
“Ini juga menjadi masalah kepada kita. Kita ingin membina dan menonjolkan imej negara, namun ramai rakyat kita ditahan di luar negara atas kesalahan yang boleh menjejas nama baik Malaysia,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Parlimen pada 10 November, lapor Astro Awani.
Daripada jumlah itu, Datuk Mohamad berkata seramai 765 orang terdiri daripada kaum Cina; 34 kaum Melayu; 33 kaum India; manakala lima lagi daripada etnik lain.
Beliau juga berkata yang paling ramai ditahan adalah di China iaitu seramai 545 orang, merangkumi 505 lelaki dan 40 perempuan.
“Kedua, rakyat Malaysia yang ramai ditahan atas kesalahan penipuan dalam talian adalah di Singapura, jiran kita, membabitkan jumlah 162 orang.
“Daripada jumlah itu, 148 lelaki dan 14 perempuan,” katanya.
Datuk Mohamad menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Cik Wong Shu Qi (Pakatan Harapan-Kluang) yang meminta kementerian menyatakan bilangan warganegara Malaysia sedang ditahan atau dijatuhi hukuman di luar negara, membabitkan kes penipuan dalam talian mengikut pecahan kaum, jantina dan negara.
Sehubungan itu, kerajaan menasihatkan rakyat Malaysia agar lebih berhati-hati ketika berada di luar negara dan mengelakkan penglibatan dalam kegiatan jenayah termasuk penipuan dalam talian.
Datuk Mohamad berkata semua bentuk bantuan untuk rakyat Malaysia yang ditahan di luar negara bagi kesalahan jenayah hanya diberikan atas permintaan individu itu, bukannya secara automatik oleh kerajaan.
Beliau berkata ia termasuk bantuan konsular seperti memaklumkan keluarga tahanan, mengatur khidmat guaman dan memenuhi keperluan asas tahanan, yang hanya akan dilakukan apabila diminta secara rasmi oleh individu terbabit.
Menurutnya setiap tindakan juga tertakluk peraturan negara itu dan prinsip Konvensyen Vienna 1963 mengenai Hubungan Konsular yang menetapkan tanggungjawab sesebuah negara dalam melindungi rakyatnya di luar negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg