PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Johor dan Negeri Sembilan tidak dapat diadakan serentak sebagaimana amalan biasa, berikutan kekangan logistik serta keperluan persiapan operasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan dakwaan mengenai keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bukan faktor yang menyebabkan PRN Johor dan Negeri Sembilan berlangsung pada tarikh berbeza, iaitu masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos.

Datuk Ramlan berkata ketika ini, SPR sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan PRN Johor sebelum menggerakkan pasukan serta sumber manusia bagi membantu pelaksanaan PRN Negeri Sembilan.

“Di Negeri Sembilan itu snap (secara mengejut). Jadi, kita memang tidak berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.

“Di Negeri Sembilan juga cuma ada peti undi sahaja. Jadi, kita perlu masa untuk petugas betul-betul fokus.

“Kita selesaikan PRN Johor dan kita akan bawa semua pasukan kita untuk bantu PRN Johor dan kemudian ke Negeri Sembilan.

“Kalau buat serentak, memang tak sempat.

“Isunya masalah logistik, latihan kakitangan dan sebagainya,” jelasnya, selepas sidang media pengumuman tarikh penting untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan di Menara SPR, Putrajaya, pada 12 Jun.

Mengulas mengenai pertikaian kesahihan pembubaran DUN Negeri Sembilan menyusuli kemelut melibatkan Adat, institusi raja dan Perlembagaan negeri itu, Datuk Ramlan berkata perkara berkenaan berada di luar bidang kuasa SPR.

Bagaimanapun, jelas beliau, SPR telah mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara itu.

“Setakat ini tidak ada isu mengenai keabsahan (pembubaran DUN Negeri Sembilan),” katanya.

Sebelum ini, pembubaran DUN Negeri Sembilan menjadi pertikaian menyusuli krisis Adat, Raja dan Perlembagaan di negeri itu yang berpanjangan sejak April lalu.

Pada 19 April lalu, Undang Yang Empat iaitu pembesar adat dan ketua daerah sepakat menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, dan menamakan Tunku Nadzaruddin, putera Yang di-Pertuan Besar ke-10, Almarhum Tuanku Ja’afar, sebagai pengganti.

PRN itu diadakan selepas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu, sebelum diikuti pembubaran DUN Negeri Sembilan beberapa hari kemudian oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bagi PRN Johor, seramai 2,727,926 pemilih layak mengundi, manakala di Negeri Sembilan pula, 889,490 pemilih layak mengundi.