Topik diikuti
Pergi ke BHkuMuda sah sertai PRN Johor, bakal umum calon dan manifesto
Muda sah sertai PRN Johor, bakal umum calon dan manifesto
Kerusi Puteri Wangsa jadi asas Muda perluas pengaruh
Muda sah sertai PRN Johor, bakal umum calon dan manifesto
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan kesediaannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, susulan pengumuman tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Presidennya, Cik Amira Aisya Abdul Aziz, berkata parti itu sudah membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya berkenaan dengan membawa agenda yang berteraskan reformasi institusi, perubahan iklim dan peluang ekonomi untuk rakyat.
Beliau berkata Muda akan terus menawarkan politik baharu yang mengutamakan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan kedudukan ekonomi.
“Muda sudah bersedia untuk bertanding sebagai sebuah parti politik yang mengangkat suara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan kelas ekonomi.
“Fokus Muda adalah berteraskan dasar reformasi institusi negeri, tumpuan kepada krisis perubahan iklim dan peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Jun.
Kenyataan itu dibuat selepas SPR mengumumkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Cik Amira Aisya berkata penyertaan Muda dalam PRN kali ini juga didorong oleh tanggungjawab untuk memperkukuhkan suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Menurut beliau, parti itu mempunyai pengalaman berkhidmat dalam DUN Johor menerusi kerusi Puteri Wangsa sejak PRN 2022.
“Sejak tahun 2022, Muda sudah berkhidmat dan menyumbang di dalam Dewan Undangan Negeri Johor bagi kerusi Puteri Wangsa.
“Maka ia menjadi satu tanggungjawab untuk Muda menggalas amanah rakyat Johor dengan menambah bilangan wakil rakyat yang akan mengangkat suara rakyat,” katanya.
Beliau berkata Muda akan terus memperjuangkan usaha membanteras rasuah, memperkukuh reformasi institusi, serta membawa dasar-dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Cik Amira Aisya memaklumkan beberapa pengumuman penting berkaitan pilihan raya akan dibuat dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Katanya, Muda akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding, manifesto pilihan raya negeri serta perkembangan berkaitan penubuhan Blok Progresif yang sebelum ini diumumkan parti berkenaan.
“Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, saya akan mengumumkan calon-calon Muda yang bertanding, manifesto pilihan raya negeri, penubuhan Blok Progresif dan beberapa perkara penting berkaitan pilihan raya,” katanya.
