Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Johor: SPRM terima 3 maklumat rasuah termasuk babit calon
PRN Johor: SPRM terima 3 maklumat rasuah termasuk babit calon
PRN Johor: SPRM terima 3 maklumat rasuah termasuk babit calon
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima tiga maklumat berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, termasuk satu dakwaan kesalahan rasuah melibatkan calon pilihan raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata setakat ini maklumat diterima merangkumi satu aduan daripada Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di Batu Pahat, manakala dua lagi maklumat umum.
Beliau berkata semua maklumat berkenaan sedang dinilai dan disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kalau ada kesalahan rasuah dalam pilihan raya yang sedang berlangsung ini, tidak kira apa parti, calon, pengundi ataupun penyokong, kalau ada unsur rasuah, itu tetap rasuah.
“Saya tidak akan komen apa-apa, tetapi dalam kes ini ia melibatkan calon,” katanya pada sidang media 9 Julai di SPRM Putrajaya, ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan rasuah melibatkan calon di Batu Pahat, lapor Berita Harian Malaysia.
Dalam pada itu, Datuk Abd Halim memaklumkan SPRM mengaktifkan bilik gerakan pilihan raya di Johor Bahru, Segamat, Kluang, Batu Pahat dan Mersing, bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan salah guna kuasa serta rasuah sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung.
SPRM menegaskan tiada kompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan rasuah pilihan raya, tanpa mengira latar belakang demi memelihara integriti proses demokrasi.
“Pilihan raya yang bersih bukan sahaja menjamin integriti sistem demokrasi, malah memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua calon, parti politik, penyokong serta pengundi agar sentiasa mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pengundian.
Sebanyak 2.7 juta pemilih biasa yang layak, dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 11 Julai ini, untuk memilih 56 wakil rakyat bagi penggal akan datang.
