Kemunculan veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tan Sri Lim Kit Siang, pada penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai petanda bahawa Pakatan Harapan (PH) semakin terdesak untuk meraih sokongan pengundi, khususnya masyarakat Cina.

Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros, berkata tindakan membawa kembali pemimpin yang sudah bersara menunjukkan DAP berdepan kesukaran meyakinkan pengundi melalui barisan kepimpinan sedia ada.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang menurut beliau hanya bergantung kepada kepimpinan negeri bagi menyampaikan agenda pembangunan Johor kepada rakyat.

“Bukan sahaja kepimpinan nasional mereka dilihat tidak cukup kuat, malah kepimpinan di peringkat negeri juga seolah-olah ketandusan tokoh untuk ditawarkan.

“Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan kempen DAP sehingga mereka terpaksa memanggil semula seorang veteran parti yang sudah bersara untuk membantu kempen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) selepas program Lepak Santai Ngopi Gen Z di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang pada 8 Julai.

Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros (tengah), bersama kumpulan anak muda selepas  program Lepak Santai Ngopi Gen Z di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang pada 8 Julai.
Ketua Pemuda Umno Johor, Encik Noor Azleen Ambros (tengah), bersama kumpulan anak muda selepas  program Lepak Santai Ngopi Gen Z di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang pada 8 Julai. - Foto FACEBOOK PEMUDA UMNO BAHAGIAN PASIR GUDANG

Menurut Encik Noor Azleen, hanya parti yang berdepan masalah memerlukan kad truf atau trump card (yang bermakna strategi tidak dijangka) pada saat-saat akhir kempen.

Katanya, BN sebaliknya yakin dengan kemampuan kepimpinan negeri untuk menjelaskan pelbagai dasar dan pencapaian kerajaan negeri kepada pengundi.

Mengulas mengenai gesaan supaya pembangkang diberi ruang sebagai mekanisme semak dan imbang, beliau berkata fokus utama Johor ketika ini ialah memastikan negeri memiliki kerajaan yang kukuh, berwibawa dan stabil.

“Ini bukan soal semak dan imbang. Apa yang diperlukan sekarang ialah sebuah kerajaan negeri yang kuat, kompeten dan berwibawa untuk mentadbir Johor.

“Johor kini berada di landasan yang tepat untuk muncul sebagai sebuah negeri maju.

“Kita juga sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi global, justeru kerajaan yang mempunyai mandat kukuh amat diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan negeri,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sejak 2022 telah meletakkan asas pembangunan yang kukuh bagi menjadikan Johor sebagai pusat kuasa ekonomi baharu negara, sekali gus memerlukan sebuah pasukan pentadbiran yang mantap untuk meneruskan usaha berkenaan.

Mengulas baki tempoh berkempen, Encik Noor Azleen berkata semua jentera BN perlu memanfaatkan sepenuhnya dua hari terakhir sebelum pengundian bagi memperkukuh penyampaian mesej kepada rakyat.

Katanya, fokus utama ialah menjelaskan kepentingan memberi mandat baharu kepada BN supaya segala inisiatif pembangunan yang telah dimulakan dapat diteruskan.

“Kita perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa kesinambungan pentadbiran itu penting supaya segala perkara baik yang dimulakan sejak 2022 dapat diteruskan dan Johor dapat melonjak ke tahap yang lebih tinggi.

“Dalam masa sama, kita perlu memperkemaskan gerak kerja jentera serta menggerakkan penyokong-penyokong tegar supaya keluar mengundi pada hari Sabtu nanti,” katanya.

Beliau berkata usaha mengukuhkan penyampaian mesej serta menggerakkan penyokong keluar mengundi akan menjadi tumpuan utama BN menjelang tamat tempoh berkempen.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai.