Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Melaka: BN tanding 21 kerusi, PAS sasar rebut 7
BN serah keputusan penggunaan logo kepada PAS setelah pendaftaran PN batal
PRN Melaka: BN tanding 21 kerusi, PAS sasar rebut 7
MASJID TANAH (Melaka): Barisan Nasional (BN) mengesahkan sudah memuktamadkan rundingan dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pada 14 November depan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan antara kedua-dua parti itu menetapkan BN akan bertanding di 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara PAS dan ‘rakan-rakannya’ akan bertanding di baki tujuh kerusi.
Perkembangan itu menamatkan tanda tanya pakatan pilihan raya antara parti politik di Malaysia, untuk menghadapi PRN Melaka ke-16, sebelum hari penamaan calon yang akan berlangsung pada 31 Oktober ini, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Zahid berkata BN turut menyerahkan kepada PAS untuk memutuskan logo yang akan digunakan pada PRN itu, selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 20 Oktober, membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN), gabungan politik yang dianggotai PAS dan beberapa parti lain.
“Logo kita logo BN, untuk PAS terserah kepada kepimpinan mereka untuk memutuskannya,” kata Datuk Zahid selepas Program Melaka Bermunajat di Masjid Salmah Khamis, Masjid Tanah, Melaka, pada malam 21 Oktober.
Pembatalan pendaftaran PN itu dibuat RoS, menyusuli aduan dan laporan oleh pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai salah satu komponen PN, berhubung tindakan gabungan itu yang didakwa melanggar perlembagaan apabila menafikan hak parti itu untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Julai lalu.
Terdahulu pada 23 September lalu, RoS menggantung semua kegiatan PN selepas mengeluarkan notis yang memberi tempoh 30 hari kepada gabungan politik itu menjawab tuduhan Bersatu dan mengemukakan penjelasan mengapa pendaftarann PN tidak patut dibatalkan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendakwa tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN bermotif politik menjelang PRN Melaka dan keputusan itu akan dicabar di mahkamah.
Sebaliknya, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendakwa pembatalan itu berpunca daripada pelanggaran perlembagaan PN oleh kepimpinan gabungan yang diterajui PAS sejak Januari 2026, selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatan Pengerusi PN.
Selain PAS dan Bersatu, PN turut dianggotai Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin mantan Timbalan Presiden Bersatu yang dipecat, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan); Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Sementara itu, selain BN, Pakatan Harapan (PH), iaitu gabungan politik pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengumumkan calon masing-masing secara serentak pada 24 Oktober ini, pada 8.30 malam, di dua lokasi berbeza di Melaka.
Pengumuman calon PH dijadual dilakukan Datuk Anwar selaku Pengerusi PH, manakala Datuk Zahid merangkap Pengerusi BN dan Presiden Umno, dijangka mengumumkan calon parti itu pada hari sama.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sementara lima kerusi dimenangi PH dan dua lagi kerusi dimenangi PN.
PRN Melaka adalah pilihan raya ketiga dijalankan pada 2026, selepas PRN Johor pada Julai lalu dan PRN Negeri Sembilan pada Ogos.