KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) menggantung tugas pemimpinnya, Nik Nazmi Nik Ahmad, sebagai pengerusi bersamanya daripada semua kegiatan rasmi parti selama tiga bulan, menyusuli pengakuannya yang ditangkap dalam kes khalwat pada 15 Oktober.

Presiden Bersama, Encik Syukri Razab, dalam satu kenyataan berkata penggantungan itu berkuat kuasa dari 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027.

Encik Syukri berkata Bersama memandang serius perkembangan itu dan berpendirian setiap isu melibatkan kepimimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.

“Bersama berpendirian bahawa keputusan ini adalah perlu dan munasabah, tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen saudara Nik Nazmi kepada perjuangan Bersama sejak parti ini dilancarkan semula pada Mei 2026,” kata Encik Syukri, dalam kenyataan pada 17 Oktober, lapor portal berita, Malaysiakini.

Penggantungan itu bermakna bekas ahli Ahli Parlimen Setiawangsa itu tidak akan menyertai kempen Bersama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Terdahulu, Nik Nazmi mengesahkan beliau adalah individu yang ditangkap pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam kes khalwat dengan seorang wanita bukan mahram di sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor, pada petang 15 Oktober lalu.

Dalam kenyataan itu beliau mengakui kejadian itu sebagai satu kesilapan dan memohon maaf kepada isteri, keluarga serta semua pihak yang terkesan dengan insiden berkenaan.

Nik Nazmi berkata kejadian itu berlaku selepas beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di studio mereka di Brickfields, Kuala Lumpur, sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya, Selangor, bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.

“Pada masa pegawai Jais tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan,” katanya.

Nik Nazmi turut menjelaskan beliau dan wanita berkenaan tidak melakukan sebarang perbuatan sumbang yang menimbulkan syak wasangka seperti dimaklumkan kepada pegawai Jais.

Nik Nazmi ialah antara mantan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menerajui Bersama, selain Datuk Seri Rafizi Ramli.

Kededua mereka sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa dan Pandan (Datuk Rafizi) pada Mei lalu, sebelum keluar PKR secara rasmi dan menerajui Bersama.