KOTA BHARU: Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersedia bertanding menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sama ada wujud kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) ataupun sebaliknya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata soal logo bukan isu utama, sebaliknya pembentukan persefahaman politik menjadi kunci mengelakkan pertembungan kerusi antara PAS dengan BN pada PRN itu nanti.

“Sama ada kerjasama dengan BN berjaya atau gagal, PAS bersedia menggunakan logo PAS. Sebagai parti yang sudah lama dan dikenali ramai, kami yakin lambang PAS akan diterima oleh pengundi di Melaka.

“Apa yang penting ialah persefahaman diwujudkan. Soal logo bukan isu utama sekiranya persefahaman itu wujud.

“Ini kerana tanpa persefahaman, akan berlaku pertembungan. Isu ini ialah antara perkara penting yang perlu diputuskan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Isu mengenai penggunaan logo parti untuk bertanding pada PRN Melaka timbul selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menggantung kegiatan Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 23 September.

Penggantungan itu berikutan aduan diterima daripada salah satu parti komponen PN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), antaranya berkait Mesyuarat Tertinggi PN yang meminggirkan Bersatu, selain kedudukan parti itu dalam PN.

Kedudukan Bersatu dalam PN semakin terpinggir selepas PAS yang mengambil alih dominasi kepimpinan PN daripada Bersatu sejak Januari lalu, menghentikan kerjasama politik dengan parti pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak 8 Jun lalu.

Kenyataan Datuk Tuan Ibrahim itu menyusuli kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum itu yang dilaporkan berkata, BN akan membincangkan kemungkinan PAS menggunakan lambang dacing, yang mewakili gabungan itu pada PRN Melaka, minggu ini.

Datuk Zahid berkata perkara itu akan dibuat selepas perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dimuktamadkan.

Beliau juga memaklumkan setakat ini, BN masih belum memuktamadkan parti atau gabungan yang akan bekerjasama dengannya bagi menghadapi PRN Melaka.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan tidak menolak kemungkinan gabungan itu akan menggunakan logo PAS pada PRN Melaka kali ini.

Datuk Takiyuddin berkata, penggunaan logo PAS ialah antara pilihan yang mereka ada sekiranya PN terus digantung oleh RoS sehingga tempoh PRN Melaka tiba.