KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melihat kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) tidak semestinya terhad kepada agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebaliknya boleh diperluaskan kepada kerusi Parlimen di seluruh negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata model kerjasama antara kededua gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang menyaksikan pembentukan kerajaan negeri, boleh dijadikan antara formula asas dalam menjalin kerjasama.

Beliau berkata masih terdapat beberapa ruang boleh diteroka termasuk perbincangan berkaitan agihan kerusi di peringkat Parlimen serta kerusi lantikan, sekiranya ada.

“Masih terdapat beberapa ruang boleh diteroka, perbincangan tidak hanya terhad kepada agihan kerusi DUN saja.

“Perbincangan (kerjasama) juga boleh membabitkan sama ada kerusi di peringkat Parlimen dan kerusi lantikan, jika ada,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, pada 1 Ogos, BN dan PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh majoriti dua pertiga daripada 36 kerusi yang ditandingi.

BN memenangi 18 kerusi, manakala PN memperoleh tujuh kerusi, sekali gus mengambil alih pentadbiran negeri yang sebelum itu diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).

Persefahaman sama dijangka dibentuk oleh kedua-dua gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka ke-16 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mengenai agihan kerusi pada PRN Melaka, Datuk Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS, berkata perkara itu diserahkan kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi di peringkat negeri, sebelum dimuktamadkan parti.

“Saya jangka ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas maklum balas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti,” katanya.

DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September bagi memberi laluan kepada PRN Melaka diadakan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan bahawa BN Melaka akan tetap mempertahankan 21 daripada 28 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRN lalu.