Topik diikuti
Pergi ke BHkuPRN Negeri Sembilan: Anwar ingatkan krisis institusi diraja, Perlembagaan tak jadi bahan kempen
PRN Negeri Sembilan: Anwar ingatkan krisis institusi diraja, Perlembagaan tak jadi bahan kempen
PRN Negeri Sembilan: Anwar ingatkan krisis institusi diraja, Perlembagaan tak jadi bahan kempen
KUALA PILAH (Negeri Sembilan): Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, supaya berkempen secara matang dan berhemah, tanpa menjadikan institusi Raja serta Adat di negeri itu sebagai bahan polemik politik.
Beliau yang juga Perdana Menteri Malaysia menegaskan persaingan politik perlu berlangsung secara waras dan baik, tanpa menyebarkan fitnah atau memainkan sentimen yang boleh menjejaskan penghormatan terhadap sistem Raja Berperlembagaan.
“Jadi saya mohon, kita bertempur dengan waras dan secara baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Negeri Sembilan, di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada malam 14 Julai.
Datuk Anwar berkata isu membabitkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, empat Undang dan Tengku Besar Tampin yang menjadi tonggak institusi Raja dan Adat di negeri itu, tidak seharusnya diheret ke dalam kempen pilihan raya kerana ia menyentuh institusi yang dilindungi Perlembagaan.
Beliau berkata pelantikan atau penurunan seseorang Raja adalah perkara besar yang mampu memberi kesan terhadap keyakinan rakyat terhadap institusi beraja.
“Sebab itu kita harus memelihara, jangan jadikannya sebagai polemik politik jalanan. Saya tidak setuju sama sekali.
“Perbincangan kita ialah untuk memuliakan (institusi ini) dan tidak mahu kedudukan sama ada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atau empat Undang dan Tengku Besar Tampin diheret ke dalam kempen pilihan raya,” katanya.
Sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan Adat Perpatih, Negeri Sembilan mempunyai struktur perlembagaan unik, merangkumi Yang di-Pertuan Besar yang dilantik oleh Undang Yang Empat, selain persetujuan Undang turut diperlukan dalam pelantikan Menteri Besar.
Pada April lalu, kemelut institusi Raja dan Undang di Negeri Sembilan tercetus, selepas empat Undang yang juga pembesar Adat dan ketua daerah mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menamakan penggantinya.
Pertikaian yang berterusan kemudian membawa kepada pergolakan politik di negeri itu, apabila 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar dari PH, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Kemelut tidak berkesudahan mendorong Datuk Aminuddin mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan PRN, yang lebih awal daripada tempoh penggal sepatutnya iaitu sehingga September 2028.
Hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 18 Julai ini, sementara hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos.
Datuk Anwar berkata sebarang keputusan berkaitan institusi diraja perlu berpandukan undang-undang dan Perlembagaan, sambil menegaskan kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri akan terus menghormati kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang dan Tengku Besar Tampin, selagi sistem sedia ada kekal.
Dalam pada itu, Datuk Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman atau memfitnah pihak lain demi meraih sokongan politik.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga berkata kerajaan yang dipimpinnya tetap berpegang kepada prinsip Perlembagaan termasuk mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
