Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan Speaker DUN Johor cadang KJ tanding di Muar, lawan Syed Saddiq
Mantan Speaker DUN Johor cadang KJ tanding di Muar, lawan Syed Saddiq
Kemenangan besar BN di PRN Johor beri petunjuk gabungan itu punyai peluang cerah rampas semula kerusi Parlimen Muar dalam pilihan raya umum mendatang
Mantan Speaker DUN Johor cadang KJ tanding di Muar, lawan Syed Saddiq
Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mencadangkan mantan Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, bertanding di kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi menentang Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Cadangan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan pembebasan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman membabitkan empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Datuk Mohd Puad berkata Syed Saddiq kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya akan datang.
“Tahniah Syed Saddiq kerana bebas sepenuhnya. Selepas ini beliau boleh memberi tumpuan untuk mempertahankan Parlimen Muar.
“Saya dimaklumkan terdapat desas-desus bahawa Encik Khairy Jamaluddin ditawarkan bertanding di Parlimen Muar untuk menentang Syed Saddiq. Saya harap beliau bersetuju,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada 14 Julai.
Beliau berkata kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai memberi petunjuk bahawa gabungan itu mempunyai peluang cerah untuk merampas semula kerusi Parlimen Muar.
Menurutnya, gabungan populariti Encik Khairy bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mampu memberikan kelebihan kepada BN sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu dicalonkan di Muar.
“BN Johor baru sahaja menang besar. Populariti Encik Khairy ditambah pula dengan populariti Datuk Onn Hafiz akan membantu beliau mencatat kemenangan.
“Berdasarkan keputusan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan Sungai Balang pada PRN Johor, saya percaya BN mampu menawan semula Parlimen Muar,” katanya.
Datuk Mohd Puad turut berpendapat sekiranya Encik Khairy bertanding di Muar, kawasan itu berpotensi menerima lebih banyak perhatian dan pembangunan.
Bagaimanapun, beliau berseloroh dengan menyatakan bahawa jika pilihan raya itu benar-benar berlaku, beliau secara peribadi memilih untuk membantu Syed Saddiq berkempen.
“Antara Syed Saddiq dan Encik Khairy, saya pilih bantu kempen Syed Saddiq. Apa salahnya. Saya tidak berparti,” katanya.
Semalam, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan pembebasan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman terhadap empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Datuk Che Mohd Ruzima dan Datuk Sequerah membentuk keputusan majoriti untuk mengekalkan pembebasan Syed Saddiq, manakala Datuk Abu Bakar menyampaikan penghakiman berbeza.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15, Encik Khairy yang mewakili BN bertanding di Parlimen Sungai Buloh namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH).
