KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memenangi 29 kerusi tanpa bertanding apabila penamaan calon ditutup pada 28 November.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun, berkata jumlah itu merupakan kemenangan tanpa bertanding tertinggi di Sarawak setakat ini, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 1996 yang menyaksikan 19 kerusi dimenangi tanpa bertanding.

“Ini sebahagian daripada demokrasi. Sesiapa yang mahu bertanding boleh berbuat demikian. Kami hanya memudahkan prosesnya,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Iskandar.

Angka itu masih belum mencukupi 42 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 82 kerusi.

Kerusi yang dimenangi tanpa bertanding ialah Tanjong Datu, Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Asajaya, Muara Tuang, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong, Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kuala Rajang, Semop, Daro, Repok, Dalat, Tellian, Katibas, Bukit Goram, Bekenu, Lambir dan Bukit Sari.

Daripada kemenangan tanpa bertanding itu, 27 kerusi dimenangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dan dua kerusi oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Parti komponen GPS yang lain ialah Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pada 28 November bahawa kemenangan GPS tanpa perlu bertanding menunjukkan wujudnya perpaduan antara parti-parti dalam gabungan tersebut.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Ini mencerminkan perpaduan dalam kalangan rakan kita dalam parti komponen GPS dan merupakan petanda yang baik. Keputusan BN untuk tidak bertanding di Sarawak dibuat lebih awal, sebelum parti lain mengumumkan bahawa mereka juga tidak akan bertanding,” katanya.

Datuk Ramlan berkata 168 calon berjaya memfailkan kertas penamaan calon untuk pilihan raya itu, tanpa sebarang penolakan.

GPS mempunyai calon paling ramai iaitu 82, diikuti Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dengan 29, Parti Bumi Kenyalang (17), Parti Tindakan Demokratik (DAP) (14), Parti Bangsa Malaysia (tiga) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (satu).

Seramai 22 calon bebas turut menyertai pertandingan.

Datuk Ramlan berkata calon tertua ialah Encik John Antau Linggang, 78 tahun, dari PBDS, yang bertanding di Krian, manakala calon termuda ialah Cik Irene Wong Lee Ting, 24 tahun, dari DAP di Pelawan.

Antara calon itu, 154 orang lelaki dan 14 orang wanita.

Datuk Ramlan berkata kempen pilihan raya bermula sekarang sehingga 11.59 malam pada 11 Disember.

Beliau turut berkata 29 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding itu melibatkan sejumlah 632,149 pengundi, atau kira-kira 30.7 peratus daripada jumlah pengundi.

Pengundian akan diadakan pada 12 Disember manakala pengundian awal pada 8 Disember. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti