Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program khas bantu jemaah uzur M’sia laksana ibadah haji

Jun 6, 2025 | 11:17 AM
Malaysia, Aidiladha, haji, Tabung Haji, jemaah, uzur
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (kiri), menyampaikan Khutbah Arafah semasa melawat khemah jemaah Malaysia di Arafah, pada 5 Jun. - Foto FACEBOOK TABUNG HAJI

MAKKAH: Seramai 38 petugas Lembaga Tabung Haji (TH) dilantik untuk membantu jemaah Malaysia yang uzur atau tidak mempunyai teman, supaya dapat menyempurnakan ibadah haji melalui Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (Peneman).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata inisiatif itu bertujuan memastikan golongan warga emas, individu kurang upaya dan jemaah tanpa teman mampu melaksanakan rukun utama haji dengan baik sepanjang fasa masyair.

Beliau menjelaskan jemaah yang terpilih untuk program Peneman dikenal pasti menerusi proses saringan serta temu duga yang dikendalikan TH sebelum musim haji bermula.

“Saya amat menghargai pengorbanan petugas Peneman yang sanggup meluangkan masa dan tenaga mereka demi memastikan semua jemaah yang kurang upaya dapat melengkapkan ibadah haji dengan sempurna,” katanya semasa melawat khemah jemaah Malaysia di Arafah, pada 5 Jun.

Kira-kira 31,600 jemaah Malaysia berada dalam kalangan lebih dua juta jemaah lain dari seluruh dunia yang melaksanakan ibadah wukuf di Padang Arafah, iaitu rukun utama haji, lapor The Star.

Dalam khutbah Arafah yang disampaikan ketika solat Zuhur pada 5 Jun, Datuk Dr Mohd Na’im menekankan bahawa ibadah haji perlu dilakukan dengan cara mudah, bukan menyusahkan.

“Islam bukan agama yang membebankan, sebaliknya hadir untuk membimbing dan mengangkat jiwa manusia. Jangan sesekali merumitkan agama dengan kejahilan atau sikap kasar.

“Sebaliknya, hayatilah kelembutan dan kasih sayang Allah dalam setiap ibadah yang kita lakukan. Jika direnung secara mendalam, kita melihat berjuta-juta manusia berbeza bangsa, budaya dan bahasa, namun berkumpul di satu tempat, menghadap satu kiblat, tunduk kepada Tuhan yang satu,” katanya.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap perpecahan dalam kalangan umat Islam yang semakin meruncing, berpunca daripada ideologi sempit, kepentingan diri serta lemahnya semangat persaudaraan.

“Sebagai insan yang bertamadun dan cintakan kedamaian, saya menggesa semua jemaah agar menjiwai nilai-nilai murni yang diperoleh sepanjang ibadah haji.

“Tunaikan hak sesama manusia. Jangan bersifat pentingkan diri. Amalkan toleransi, saling membantu, elakkan perselisihan atau pertengkaran yang boleh merosakkan semangat haji.

“Jagalah kebersihan dan hindari pembaziran. Bersyukurlah atas setiap nikmat serta amalkan sifat berkongsi dengan orang lain,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg