Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 amalan utama dilaksanakan pada Hari Arafah

Jun 5, 2025 | 8:06 PM
hari arafah, wukuf, amalan
Hari Arafah sinonim dengan ibadah wukuf untuk jemaah haji di padang Arafah, umat Islam yang tidak menunaikan haji juga digalakkan merebut kelebihan hari mulia itu dengan memperbanyakkan amalan soleh. - Foto fail

Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijah merupakan antara detik paling agung dalam kalendar Islam.

Tahun ini (2025), berdasarkan ketetapan Malaysia, ia disambut pada Jumaat iaitu 6 Jun, manakala di Makkah pula jatuh pada Khamis, 5 Jun.

Walaupun Hari Arafah sinonim dengan ibadah wukuf untuk jemaah haji di padang Arafah, umat Islam yang tidak menunaikan haji juga digalakkan merebut kelebihan hari mulia itu dengan memperbanyakkan amalan soleh.

Pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, Hari Arafah merupakan peluang keemasan buat seluruh umat Islam untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Berikut merupakan empat amalan utama yang disarankan oleh penceramah itu untuk dilaksanakan pada Hari Arafah:

Memperbanyakkan doa

Hari Arafah dikenali sebagai hari mustajab doa.

Malah, Nabi Muhammad saw sendiri menghabiskan masa yang sangat lama untuk berdoa ketika berada di Arafah.

Abdullah bin ‘Amr meriwayatkan Nabi Muhammad saw bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Maka, umat Islam diseru untuk memperbanyakkan permohonan hajat, keampunan dan munajat dengan penuh pengharapan kepada Allah swt sepanjang hari tersebut.

Puasa sunat Hari Arafah

Bagi yang tidak mengerjakan haji, disunatkan untuk berpuasa pada hari tersebut iaitu puasa sunat Hari Tarwiyah (Khamis, 8 Zulhijah) dan Jumaat (9 Zulhijah).

Ia merupakan antara ibadah sunat yang memiliki ganjaran luar biasa.

Abi Qatadah RA meriwayatkan Rasulullah saw bersabda apabila ditanya tentang puasa pada Hari Arafah: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Lafaz niat puasa sunat Hari Arafah berbunyi: “Sahaja aku berpuasa Arafah, sunat kerana Allah Ta’ala.”

Bagaimanapun, puasa sunat itu tidak disyariatkan kepada jemaah haji yang sedang berwukuf.

Zikir, ingati Allah

Menghidupkan Hari Arafah dengan zikir, tahmid dan takbir termasuk amalan yang sangat digalakkan.

Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari Arafah. Dan sebaik-baik perkataan yang aku ucapkan begitu juga para Nabi sebelumku adalah ‘Laa ilaaha illallaahu wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku wa lahul hamdu yuhyii wa yumiitu wa huwa ‘alaa kulli syai’in qodiir’.” (Hadis Riwayat Malik)

Mohon istighfar kepada Allah

Hari Arafah juga dikenali sebagai hari pelepasan daripada api neraka.

Ia membuka ruang dan peluang besar untuk umat Islam memohon keampunan atas segala dosa lalu.

Aisyah ra meriwayatkan Nabi Muhammad saw bersabda: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-NYA daripada api neraka melainkan pada Hari Arafah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru, Ustazah Asma’ mengajak umat Islam untuk mengambil kesempatan emas itu untuk menyucikan dan memperbaiki diri sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Semoga ia dapat menjadi penambah saham pahala untuk kita di akhirat nanti,” katanya.

Artikel ini pertama kali disiarkan di Sinar Harian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg