JOHOR BAHRU: Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) merupakan satu lonjakan besar dalam sistem pengangkutan rel Malaysia, khususnya di selatan negara itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata projek itu bakal melengkapkan jaringan Landasan Berkembar Elektrik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di pantai barat Semenanjung yang menghubungkan Johor Bahru hingga ke Padang Besar, Perlis.
“Projek ini sebahagian daripada transformasi infrastruktur di Johor. Semoga perkhidmatan ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat dan negeri Johor, sekali gus menjadikannya lebih maju dan berdaya saing,” katanya menerusi akaun Facebook rasminya, pada 17 Mac, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Onn Hafiz berkata Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru telah bermula di Segamat pada 15 Mac lalu, manakala stesen di Labis akan bermula pada April diikuti Kluang pada Mei hingga ke Johor Bahru pada September 2025.
“Dengan adanya landasan berkembar ini, perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral hanya mengambil masa tiga jam 30 minit, menjadikannya pilihan lebih pantas, selesa dan berkesan.
Laluan sepanjang 192 kilometer itu merentasi Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru sebelum berakhir di JB Sentral.
“Dengan kelajuan hingga 160 km/jam, tren elektrik ini mampu menampung kapasiti penumpang dengan 22 perjalanan sehari dan menawarkan 346 tempat duduk setiap tren,” katanya.
Pada 15 Mac, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, dilapor berkata ETS Gemas-Johor Bahru telah memulakan perjalanan sulung dari Stesen Segamat ke Padang Besar dan dijangka merancakkan kegiatan ekonomi di daerah itu.
Sementara itu, penyedia pengangkutan awam, Causeway Link, memperkenalkan perkhidmatan bas ekspres premium pertama di Johor, dengan menawarkan perjalanan lebih selesa dan eksklusif kepada penumpang.
Ketua Pegawai Pemasaran Handal Indah (HI) Mobility Berhad, Encik Lim Chern Fang, berkata perkhidmatan bas premium itu bertujuan meningkatkan pengalaman perjalanan dengan mengutamakan kemudahan moden, keselesaan dan privasi.
“Pelancaran perkhidmatan Bas Ekspres Premium ini hanya permulaan operasi bas premium Causeway Link.
“Kami merancang untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke Singapura menjelang suku ketiga atau keempat 2025,” katanya.
Perkhidmatan bas itu akan menghubungkan Johor Bahru dengan beberapa destinasi utama di Kuala Lumpur, termasuk Berjaya Times Square, NU Sentral dan Bukit Bintang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg