Projek penggantian dan penambahan papan tanda elektronik atau Variable Message Signage (VMS) di pusat pemeriksaan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) berjaya disiapkan lebih awal dari jadual asal, sekali gus meningkatkan sistem penyampaian maklumat dan keselamatan di pintu sempadan utama Johor-Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata projek bernilai RM3.65 juta ($1.13 juta) itu dimulakan pada 2 Oktober 2023 dan dijadual siap pada 7 Disember 2025, namun berjaya disiapkan lebih awal pada 22 September 2025.
Menurutnya, pemasangan sistem VMS itu merupakan satu pembaharuan penting kerana sebelum ini penyampaian maklumat di kompleks berkenaan dilakukan secara manual menggunakan kain rentang dan sepanduk.
“Projek ini menampilkan 14 unit papan tanda elektronik baru yang berfungsi menyebarkan maklumat penting berkaitan operasi sempadan seperti penutupan sementara lorong, pengalihan laluan serta arahan khas bagi kenderaan tertentu.
“VMS juga digunakan untuk memaklumkan prosedur perjalanan antara Malaysia dengan Singapura.
“Sistem ini dapat membantu memastikan kelancaran operasi serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya semasa majlis penyerahan projek siap di KSAB pada 30 Oktober.
Encik Fazli berkata papan tanda elektronik itu juga akan dimanfaatkan untuk memaparkan mesej khas kepada pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026, menjadikannya antara sistem maklumat paling moden di pintu masuk antarabangsa negara.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan (MOF) atas kelulusan pelbagai projek naik taraf di KSAB dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Menurutnya, beberapa projek besar sedang dan akan dilaksanakan di kedua-dua kompleks sempadan itu, termasuk penggantian lif dan eskalator bernilai RM45 juta, projek penggabungan Dewan Penumpang Bas di KSAB bernilai RM37.2 juta, serta naik taraf kawasan pemeriksaan lori bernilai RM30.7 juta.
Selain itu, pembinaan kompleks tandas dan ruang makan untuk pemandu bas serta kakitangan bernilai RM8.6 juta turut dilaksanakan, manakala pembinaan lorong motosikal baru bernilai RM12.6 juta dijangka siap pada 2026.
Beliau berkata sebahagian projek kini dalam tahap pelaksanaan manakala selebihnya sedang melalui proses reka bentuk dan perolehan. Kesemuanya telah mendapat kelulusan kerajaan persekutuan.
Mengenai kemudahan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bagi pengguna motosikal, Encik Fazli memaklumkan tujuh kaunter baru di BSI telah mula beroperasi pada 15 Oktober dan mencatat lebih 16,000 penggunaan dalam tempoh dua minggu pertama.
“Daripada jumlah itu, 15,000 pengguna adalah warga Malaysia manakala selebihnya pengguna Singapura.
“Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan mendaftar dan menggunakan kemudahan ini,” katanya.
Encik Fazli turut menjelaskan bahawa pelaksanaan sistem lorong tunggal bagi penumpang bas di sempadan kini dijalankan secara percubaan selama 30 hari bagi memperbaiki aliran penumpang ketika waktu sibuk.
“Langkah ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk KDN, PDRM, PAJ, JPJ, Rela dan polis bantuan.
“Ia bertujuan mengurangkan kesesakan yang berlaku apabila penumpang enggan menaiki bas kerana tidak mahu berdiri,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg