JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang giat membangun dan memperkukuh jaringan pengangkutan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, termasuk dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Encik Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata kerja naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) kini rancak dijalankan sejak dimulakan pada November 2024, dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.
“Projek ini sangat kritikal kerana akan memberi nafas baru kepada lebuh raya kita.
“Ia meningkatkan kapasiti dan mutu jalan, terutama untuk menyokong pembangunan pesat di Pengerang serta memudahkan pelancong ke pantai timur Johor,” katanya dalam kenyataan pada 28 Oktober.
Menurut beliau, projek bernilai lebih RM100 juta ($30.8 juta) itu kini mencatat kemajuan fizikal 30.09 peratus, melebihi jadual asal dengan varian positif 0.99 peratus.
Tumpuan utama kini tertumpu kepada Pakej 2A, melibatkan naik taraf jajaran 4.7 kilometer dari Cahaya Baru (KM42.9) ke Jambatan Sungai Johor (KM47.6).
“Pakej ini merupakan nadi penghubung antara Pasir Gudang, Desaru dan Pengerang.
“Ia akan melancarkan aliran trafik timur–barat Johor serta meningkatkan keselamatan pengguna,” jelasnya, sambil menambah bahawa Pakej 2B dari Sungai Semenchu ke Penawar (10.9 kilometer) akan diteruskan selepas ini.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan padu Kerajaan Persekutuan yang memberi keutamaan kepada projek itu dalam Belanjawan 2026, sebagai sebahagian daripada inisiatif menyokong aspirasi JS-SEZ.
Dalam perkembangan lain, Encik Mohamad Fazli memaklumkan bahawa RM60 juta telah diluluskan bagi menaik taraf Jalan J25 dari Taman Muhibbah ke Jalan Kota Tinggi, Kluang, yang akan melibatkan pelebaran jalan dan penambahbaikan keselamatan.
“Jalan ini amat penting kerana menjadi nadi penghubung utama antara kawasan perumahan dengan pusat bandar.
“Dengan peruntukan ini, kita harap masa perjalanan dapat dipendekkan dan kesesakan dikurangkan, sekali gus merancakkan ekonomi setempat,” katanya.
Selain itu, projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) juga sedang dipantau rapi oleh kerajaan negeri.
Bagi Tahap 1, Pakej A (Kulai-Sedenak), kerja telah mencapai 28.64 peratus dan dijangka siap pada Jun 2027, manakala pembukaan berperingkat akan bermula April 2026.
Kerja untuk Tahap 1, Pakej B (Senai-Kulai) bermula pada Jun 2025, diikuti Tahap 2 (Sedenak-Simpang Renggam) pada Julai 2025, dan Tahap 3 (Simpang Renggam-Machap) dijangka dimulakan pada Disember 2026.
“Projek penambahbaikan ini penting bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan Lebuhraya Plus mampu menampung lonjakan trafik serta memacu pertumbuhan Johor Bahru Metropolitan,” ujarnya.
Menyentuh isu kesesakan di Johor Bahru dan Kulai, Encik Mohamad Fazli berkata RM280 juta telah diluluskan dalam Belanjawan 2026 untuk menaik taraf persimpangan kritikal di Seksyen 16 Johor Bahru, Kulai dan Jalan Gelang Patah.
“Projek ini akan melibatkan pembinaan jejambat, pelebaran lorong dan penyelarasan semula sistem lampu isyarat.
“Tujuannya jelas iaitu mengurangkan kesesakan harian, terutama bagi ribuan pekerja yang menggunakan laluan ini setiap hari,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg