Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek taman tema Bandar M’sia: TRX City batal perjanjian dengan syarikat S’pura

Dec 23, 2024 | 1:56 PM
Lakaran projek Bandar Malaysia di Kuala Lumpur yang dicetuskan pada 2011.
Lakaran projek Bandar Malaysia di Kuala Lumpur yang dicetuskan pada 2011. - Foto ISKANDAR WATERFRONT HOLDINGS

KUALA LUMPUR: TRX City Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan, membatalkan perjanjian dengan sebuah syarikat Singapura untuk membina taman bertema di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur.

Langkah itu dijangka memerlukan TRX City membayar pampasan besar kepada Sim Leisure Group Ltd, namun syarikat Malaysia itu dilihat bakal meraih keuntungan berbillion ringgit sebagai balasan, lapor portal Malaysiakini.

Menurut pengumuman oleh Sim Leisure pada 19 Disember di Bursa Singapura, TRX City telah menghantar notis pada 16 Disember untuk membatalkan perjanjian tersebut.

Akibat pembatalan itu, syarikat Malaysia itu mesti memulangkan deposit keselamatan sebanyak RM350,000 ($105,844) kepada syarikat Singapura tersebut, serta memulangkan bayaran pendahuluan sebanyak RM1 juta.

Selain itu, Sim Leisure juga menuntut pampasan untuk semua perbelanjaan modal yang telah mereka laburkan setakat ini, namun jumlah spesifik tidak dinyatakan.

Laporan media pada November menyebut bahawa syarikat Singapura itu baru-baru ini mengemukakan cadangan untuk pembangunan campuran yang merangkumi taman bertema dengan aktiviti lasak, kemudahan berkaitan, serta penginapan seperti banglo, rumah teres dan pangsapuri.

Keputusan membatalkan perjanjian dengan syarikat Singapura itu dilihat berkait dengan perjanjian bernilai berbilion ringgit untuk mengambil alih hartanah yang terletak di Sungai Besi.

The Edge, dalam salinan digital versi cetak pada Isnin, melaporkan bahawa KLCC Property Holdings Bhd (KLCCP) – sebuah anak syarikat Petronas – sedang dalam perbincangan untuk memperoleh Bandar Malaysia.

Menurut sumber, nilai perjanjian itu dianggarkan sebanyak RM12 bilion, dengan KLCCP dijangka membayar RM6 bilion sebagai pendahuluan manakala bakinya akan dibayar ‘mengikut keperluan’.

“Perjanjian ini akan membolehkan kerajaan menjana pulangan asetnya dan pada masa yang sama melunaskan hutang Bandar Malaysia yang kebanyakannya melibatkan dana kerajaan,” menurut sumber itu.

Bandar Malaysia ialah sebuah projek pembangunan bandar di Kuala Lumpur yang dicetuskan mantan Perdana Menteri Malaysia keenam Najib Tun Razak pada 2011 dan akan dibina di tapak Lapangan Terbang Sungai Besi.

Bandar Malaysia direka untuk menjadi sebuah pembangunan hartanah berwawasan dan bertujuan menjadi sambungan pengangkutan utama sebagai sebahagian daripada Kereta Api Kelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang telah lama dirancang dan pernah dibatalkan Malaysia pada 2021.

Laman web Kementerian Kewangan memaklumkan Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC) sebagai sebuah konsortium telah memenangi tender untuk membangunkan Bandar Malaysia pada 2015.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg