KUALA LUMPUR: Kabinet Malaysia masih belum membincangkan untuk memulihkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, memandangkan kerajaan Malaysia kini memberi tumpuan kepada menyiapkan rangkaian pengangkutan sedia ada yang akan menyokong pembangunan ekonomi dan pertumbuhan mampan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,
“HSR adalah sesuatu yang kami akan sentiasa pertimbangkan, dan kajian telah dijalankan.
“Namun, buat masa ini, Kabinet belum membincangkannya sehingga ke peringkat itu. Kami sedang menunggu keputusan Kabinet,” kata Datuk Seri Amir kepada The Straits Times (ST) dalam satu temu bual menjelang Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 yang dijadual pada penghujung 2024.
Pada 20 Julai, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, berkata bahawa rundingan dengan Singapura mengenai projek HSR hanya boleh dimulakan selepas Kabinet membuat keputusan dasar mengenai kemungkinan projek bernilai RM100 bilion ($30 bilion) itu menjelang akhir suku keempat.
Tetapi enam minggu menjelang akhir tahun, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum membincangkan perkara itu di peringkat tertinggi.
Projek HSR telah ditamatkan pada 2021 selepas kedua-dua negara gagal bersetuju dengan perubahan yang dicadangkan Malaysia.
Pentadbiran Datuk Anwar, yang menjadi perdana menteri pada November 2022, telah menyatakan keterbukaan untuk memulihkan projek sepanjang 350 kilometer (km) itu, dengan syarat ia dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta tanpa melibatkan dana atau jaminan kerajaan.
Pada Julai 2024, Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Chee Hong Tat, memberitahu Parlimen bahawa negara ini tidak menerima sebarang cadangan baru dari Malaysia untuk laluan kereta api berkelajuan tinggi antara Singapura dengan Kuala Lumpur, tetapi bersedia membincangkannya “dengan niat baik” dari permulaan baru.
Datuk Amir memberitahu ST pada 19 November bahawa tumpuan semasa Malaysia adalah untuk melengkapkan dan membangunkan lagi rangkaian pengangkutan sedia ada, seperti projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Keutamaan mestilah pada apa yang kita ada hari ini... Tumpuan harus diberikan kepada merealisasikan Gemas-JB EDTP dan ECRL. Di sinilah perhatian kerajaan harus diberikan,” ujarnya.
Dijadualkan siap pada April 2025, Gemas-JB EDTP bernilai RM9.5 bilion akan mengurangkan masa perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur kepada empat setengah jam, daripada sekitar tujuh jam pada masa ini menggunakan tren diesel.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg