KUALA LUMPUR: Prosedur graf kulit atau tampalan kulit untuk menutup luka lecur tahap empat dialami Faisal Halim yang cedera disimbah asid baru-baru ini menunjukkan reaksi positif.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, menyifatkan lapisan kulit yang dibawa dari luar negara untuk digunakan dalam prosedur bermula Khamis lepas itu dilihat sesuai.
“Setakat ini, saya lihat keadaan Faisal bertambah baik dengan proses skin allograft juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi pada 13 Mei, lapor Malaysiakini.
Datuk Shahril melawat pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC berusia 26 tahun itu di hospital pada 12 Mei.
Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Pemain bola sepak yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lalu itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan beliau terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada Jun.
Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bola sepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, 2 Mei lepas.
Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baru selepas itu apabila cermin kereta pemain kelab JDT, Safiq Rahim, pula dipecahkan dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru pada 7 Mei.
Sementara itu suspek kedua yang ditahan sebelum ini berhubung kes simbah asid ke atas Faisal dibebaskan pada 11 Mei, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Jabatan Siasatan Jenayah dalam satu kenyataan menyatakan suspek dibebaskan dengan jamin polis setelah proses soal siasat ke atasnya selesai.
Menurut kenyataan itu, suspek boleh dipanggil pada bila-bila masa untuk membantu siasatan dalam kes ini sekiranya diperlukan oleh pihak polis.
“Tiada sebarang pengakuan daripada suspek dan siasatan masih dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan suspek lain serta mendapatkan keterangan lanjut dalam kes ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg