Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Suspek kes simbah asid pemain bola sepak Faisal Halim ada tujuh rekod jenayah

May 9, 2024 | 1:18 PM
Pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Faisal Halim, mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei dan masih dirawat di hospital.
Pemain bola sepak kebangsaan Malaysia, Faisal Halim, mengalami kelecuran tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei dan masih dirawat di hospital. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Suspek kedua yang ditahan berhubung serangan asid ke atas pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, dikesan mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata semakan polis mendapati lelaki berusia lewat 30-an tahun itu pernah terbabit kes samun berkumpulan dan pemerasan.

Beliau berkata suspek ada tujuh rekod jenayah lampau berkaitan salah guna Internet melibatkan penyebaran kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik; menyebabkan kecederaan; merompak; menyamar sebagai penjawat awam; ugutan jenayah; peras ugut; dan menghina pegawai kehakiman.

“Suspek kedua masih dalam tahanan reman lima hari dan siasatan terus dijalankan. Suspek pertama pula sudah dibebaskan selepas tamat reman, namun keputusan ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

“Suspek kedua bekerja sendiri, manakala suspek pertama tiada rekod jenayah,” kata Datuk Seri Mohd Shuhaily, lapor Harian Metro.

Suspek kedua ditangkap di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 6 Mei, menyusuli insiden Faisal, tonggak Selangor FC, disimbah asid pada 5 Mei di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, menyebabkan Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu mengalami kelecuran tahap empat.

Bapa Faisal, Encik Abdul Halim Saad, 60 tahun, menyifatkan anaknya itu “kebal” dalam menghadapi ujian sangat sukar ketika ini.

Mereka sekeluarga reda akan ketentuan Ilahi dan kini menantikan Faisal sembuh agar dapat pulang ke pangkuan keluarga.

“Alhamdulillah ketika ini dia boleh terima keadaan dirinya dan bagi saya, dia kuat. Dia seorang yang kebal. Sekiranya Allah izin, dia (kesihatannya) akan lebih baik lagi daripada sebelum ini,” kata Encik Halim.

Dua lagi pemain bola sepak Malaysia turut menjadi serangan dalam tempoh terdekat ini.

Pada 2 Mei, pemain kebangsaan daripada pasukan Terengganu FC, Akhyar Rashid, disamun dan diserang di kawasan rumahnya di Kuala Terengganu.

Pada 7 Mei, pemain bola sepak bagi pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Safiq Rahim, diserang dua lelaki yang menaiki motosikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg