Topik diikuti
Pergi ke BHkuRafizi: Kerajaan perlu jelaskan keputusan perintah tahanan di rumah terhadap Najib
Rafizi: Kerajaan perlu jelaskan keputusan perintah tahanan di rumah terhadap Najib
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perintah tahanan di rumah yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata diharapkan Datuk Anwar tidak mengulangi hujah yang sama iaitu perkara ini adalah di luar kawalan mereka.
“Paling kurang, Perdana Menteri perlu mengumumkan syarat-syarat tahanan di rumah secara terperinci supaya jika ada pelanggaran yang nyata, tindakan boleh diambil.
“Ini bukan soal politik, tetapi hutang yang Perdana Menteri dan PH ada kepada rakyat mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), terutama individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu 1MDB diketahui umum,” katanya dalam kenyataan pada 18 September.
Beliau berkata, Perdana Menteri mendapat laba besar daripada isu 1MDB, lapor Berita Harian Malaysia.
“Selain daripada ucapan di Parlimen yang ditulis oleh penulis ucapan, beliau (Perdana Menteri) tidak ke depan memperhalusi skandal 1MDB berbanding ramai rakyat biasa yang lain.
“Di kemuncak pertembungan skandal 1MDB antara tahun 2015 hingga 2018, Perdana Menteri berada di penjara.
“Tanggungjawab memperjuangkan hak rakyat bersabit 1MDB digalas oleh rakyat biasa dalam kalangan penjawat awam, media dan aktivis. Ramai dari mereka ini tidak bernama,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat supaya pelepasan tahanan di rumah itu dilaksanakan secara tegas mengikut syarat yang dikenakan.
“Kepada rakyat Malaysia yang mempunyai rasa mendalam mengenai penyelewengan 1MDB dan rentetan isu akibat skandal itu, saya berharap kita sama-sama sedar bahawa tanggungjawab menjaga amanah rakyat itu adalah satu kerja berterusan yang tidak akan berhenti.
“Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk terus mendidik golongan muda mengenai apa yang berlaku dan peri penting usaha berterusan membudayakan pentadbiran negara dengan integriti.
“Kepada Datuk Najib, keluarga dan penyokong mereka, saya berharap mereka memahami bahawa luka daripada skandal 1MDB ini adalah dalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.
Datuk Rafizi berkata beliau berlapang dada dengan keputusan yang dibuat dan sebaik-baiknya proses tahanan di rumah itu berjalan dengan senyap untuk tidak mengundang pelbagai reaksi lain.
Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Datuk Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hari ini.
