JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah meminta agar Karnival Hari Keluarga Johor yang dijadualkan pada 16 September ditangguhkan ke satu tarikh yang sesuai, susulan situasi jerebu yang meruncing di negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 14 September, beliau berkata karnival berkenaan akan diadakan apabila tahap kebersihan udara kembali ke paras yang baik.

“Saya menasihati orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga, terutama bagi warga emas dan kanak-kanak, serta mereka yang menghidap masalah kesihatan pernafasan.

“Walaupun niat saya untuk menyediakan ruang mencipta kenangan manis sempena Hari Malaysia, namun kita tidak boleh mengambil risiko ke atas kesihatan rakyat jelata.

“Insya-Allah, karnival ini akan diadakan apabila tahap kebersihan udara kembali ke paras yang baik,” katanya, lapor Harian Metro.

Karnival diilhamkan Raja Permaisuri Agong dan dianjurkan oleh kerajaan negeri, serta Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) itu menyediakan ruang untuk rakyat jelata bersuka ria bersama keluarga dan anak-anak bersempena Hari Malaysia.

Sementara itu, tujuh kawasan di Johor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat, dengan Pasir Gudang merekodkan bacaan tertinggi sebanyak 171.

Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada 9 pagi, 15 September, kawasan lain yang mencatatkan mutu udara tidak sihat ialah Larkin dengan bacaan 168 dan Tangkak sebanyak 167.

Kota Tinggi pula merekodkan IPU 165, manakala Batu Pahat dan Pengerang masing-masing mencatatkan bacaan 161.

Kluang turut berada pada paras tidak sihat dengan bacaan IPU sebanyak 152.

Bacaan IPU antara 101 dengan 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.

Secara keseluruhan, sebanyak 38 kawasan di seluruh negara disenaraikan pada paras tersebut berdasarkan paparan APIMS berkenaan.

Serian di Sarawak mencatatkan bacaan tertinggi negara dengan IPU 188, diikuti Johan Setia di Selangor sebanyak 182.

Cheras di Kuala Lumpur merekodkan bacaan 171, sama seperti Pasir Gudang, manakala Shah Alam di Selangor dan Nilai di Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan IPU 168.

Kawasan lain yang turut merekodkan mutu udara tidak sihat termasuk Putrajaya, Seremban, Samarahan, Batu Muda, Balok Baru Kuantan, Indera Mahkota Kuantan, Petaling Jaya, Klang dan Alor Gajah.

Beberapa kawasan di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Terengganu dan Melaka juga berada pada paras tidak sihat.

Antaranya ialah Tanjung Malim, Seri Manjung, Tasek Ipoh, Balik Pulau, Minden, Sungai Petani, Temerloh, Paka, Jerantut, Rompin, Kuala Terengganu, Kemaman dan Bukit Rambai.

Orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas serta mereka yang menghidap penyakit pernafasan dan penyakit kronik, disaran memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa serta mengurangkan kegiatan di luar rumah sekiranya mutu udara terus merosot.