KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan kegiatan sindiket penipuan (scammer) pengeluaran lesen memandu secara mudah dan murah yang diiklankan di akaun media sosial.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagos Taha, berkata sindiket berkenaan dikesan mengiklankan perkhidmatan haram itu di media sosial termasuk Facebook dan Telegram, yang menjanjikan pengeluaran lesen memandu pada kadar murah, tetapi tidak mengikut syarat ditetapkan serta tidak sah di sisi undang-undang.
Beliau berkata sindiket itu menggunakan wadah media sosial untuk mempromosikan iklan dengan menggunakan pelbagai kaedah pujukan termasuk memaparkan gambar lesen memandu JPJ bagi memikat orang ramai mendapatkan lesen tanpa ujian dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat, murah, mudah dan sukar dikesan pihak berkuasa.
“Lesen memandu yang dikeluarkan secara sah hendaklah mengikut tatacara dan prosedur latihan dan ujian memandu kecekapan yang ditetapkan.
“Oleh itu saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak tertipu dengan sindiket pengeluaran lesen memandu secara mudah dan murah yang diiklankan di akaun media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia pada Khamis.
Sehubungan itu, Datuk Rospiagos berkata JPJ bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam mengesan pemilik akaun media sosial yang menawarkan dan menjalankan operasi sindiket penipuan itu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata memandu tanpa lesen yang sah bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan juga terdedah pada risiko kemalangan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.
Katanya, memiliki lesen tidak sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 108 Akta 333.
“Orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan lesen memandu secara sah boleh menghubungi Institut Memandu (IM) berhampiran yang berdaftar dengan JPJ.
“JPJ menggesa kepada orang ramai untuk memberikan maklumat atau menyalurkan aduan sekiranya terdapat sindiket yang cuba menawarkan promosi pengeluaran lesen secara mudah dan murah tetapi tidak mengikuti syarat yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu semakan Berita Harian (BH) di media sosial menemui beberapa akaun media sosial yang memaparkan iklan pengeluaran lesen memandu secara mudah dan murah.
Perkongsian pemilik akaun Facebook Marwan Mahmud WM pada 18 November 2023 mendedahkan gambarnya disalahgunakan oleh sindiket scammer lesen memandu.
Laman Facebook Institut Memandu Shah Alam dalam hantaran pada 15 November pula memberi peringatan kepada orang ramai bahawa mereka tidak menggunakan akaun persendirian mahupun menawarkan kepada pengguna mengenai pengeluaran lesen memandu tanpa ujian dan boleh didapati dalam tempoh singkat pada harga murah.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg